fbpx

Cikgu Abdullah tidak lagi kekok guna tangan kiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDULLAH menunjukkan kemahiran menggunakan tangan kiri untuk menulis jawi di papan putih di SK Tok Uban, Pasir Mas. FOTO YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS – Memegang status orang kelainan upaya (OKU) sejak empat tahun lalu tidak melunturkan semangat Abdullah Abdul Kadir, 28, untuk melaksanakan tugas sebagai pendidik seperti guru lain.

Abdullah yang kehilangan tangan kanannya akibat kemalangan jalan raya pada Mac 2018 tetap bersemangat menjalankan tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Uban di sini meskipun pernah berputus asa dengan nasib yang menimpa dirinya itu.

Katanya, kemalangan kereta yang dialami di Kuala Lipis, Pahang itu hampir membuatkannya mahu
melepaskan jawatan sebagai pendidik apabila memikirkan keadaan fizikal yang sudah tidak sempurna.

Bagaimanapun, dirinya kembali bersemangat untuk terus mengajar selepas mendapat sokongan penuh daripada ibu dan ahli keluarga.

“Bayangkan tangan kanan yang saya gunakan untuk menulis di papan putih dan aktiviti lain terpaksa dipotong disebabkan kemalangan tersebut.

“Ketika itu hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya. Hal ini kerana tangan kanan
merupakan salah satu nadi utama saya dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik,” katanya.

Mengimbau semula kemalangan ngeri yang mengubah hidupnya itu, Abdullah memberitahu, nahas berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur selepas cuti penggal persekolahan.

Katanya, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 25 meter di Kuala Lipis sehingga menyebabkan tangan kanannya tersepit dan
terpaksa dipotong.

“Selepas bergelar OKU, saya membuat permohonan untuk bertukar tempat mengajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, Kuala Lumpur ke Kelantan.

“Saya mengambil keputusan untuk bertukar sekolah bagi meneruskan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu selain mendapatkan semangat daripada
keluarga untuk meneruskan kehidupan sebagai OKU,” ujarnya.

Abdullah berkata, rezeki berpihak kepadanya apabila permohonan tersebut berjaya dan ditempatkan di SK Tok Uban sehinggalah ke hari ini.

Katanya, setelah hampir setahun menjalani rawatan terapi di HRPZ II, dia kini tidak kekok lagi menggunakan tangan kiri.

“Saya menggunakan buku pembelajaran kanak-kanak prasekolah bagi melatih untuk menulis dengan tangan kiri dan alhamdulillah kini tulisan juga sudah semakin cantik,” katanya.

Menurutnya, selepas mendapat keyakinan menggunakan tangan kiri, dia kembali ke sekolah dengan
keazaman yang tinggi untuk menjadi seorang pendidik.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, mengajar di kelas tahun satu sedikit mencabar apabila murid-murid yang baru belajar mengenal alam persekolahan sering mempersoalkan tentang ketiadaan tangannya.

Katanya, situasi tersebut memberi sedikit tekanan kepadanya, namun dengan bantuan rakan-rakan guru yang lain masalah tersebut dapat diatasi.

“Murid darjah satu suka bertanya dan pertanyaan mana tangan cikgu satu lagi itu sudah biasa bagi saya.

“Rakan-rakan guru lain juga banyak membantu memberi penerangan kepada murid-murid tentang keadaan saya dan sehingga sekarang isu tersebut sudah tidak dipersoalkan lagi,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI