fbpx

Ebby Yus, lali ditanya ‘bila nak kahwin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EBBY YUS

TIDAK akan berkurang rezeki orang yang bersedekah. Berpegang dengan amalan Rasulullah, pelawak dan pelakon Ebby Yus terbuka dan berlapang hati untuk terus menebarkan kebaikan sementelah hayat masih dikandung badan.

Menginjak usia 58 tahun, Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid percaya bahawa kehidupan di dunia hanyalah perjalanan atau persinggahan yang bersifat sementara.

Biar ditimpa ujian demi ujian, itu tidak bermakna bahawa kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya termasuk dirinya pudar. Ebby yang menderita pelbagai penyakit termasuk sakit jantung dan buah pinggang tidak pernah salah sangka dengan aturan Ilahi.

Hujung tahun lalu, dia juga diuji apabila rumah idamannya yang hampir siap terletak di Hulu Langat, Kuala Lumpur dihanyutkan arus deras banjir. Berdepan situasi tersebut, dia tidak pernah terfikir bahawa Tuhan kejam dengan naratif hidupnya.

Ebby sebaliknya tenang dan yakin bahawa pegangan hidup bahawa Dia datangkan ujian, sebab Dia sayang.

BERDEPAN beberapa kompiikasi kesihatan seperti jantung dan buah pinggang, Ebby tetap bersyukur kerana masih diberikan kudrat untuk bekerja mencari rezeki.Kesihatan okey

“Kesihatan saya sekarang okey sahaja. Masih boleh berjalan, masih boleh bekerja. Alhamdulillah,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas tentang rumah sumbangan kerajaan berkapasiti mesra rakyat bernilai RM56,000 sebagai ganti atau pampasan mahligai impiannya RM200,000 yang musnah disebabkan bah Disember tahun lalu, Ebby memaklumkan rumah berkenaan masih belum siap sepenuhnya.

Bersyukur dengan kurniaan rezeki walaupun harga ternyata tidak setimpal dengan apa yang diusahakan atau dikerjakan terdahulu, Ebby yang cukup dikenali menerusi siri sitkom televisyen Simpang Tiga tetap memanjatkan kesyukuran.

Hatta, rumah yang diberikan kerajaan jauh daripada harga sebenar rumah idamannya, Ebby tidak mengeluh dan menganggap belum sampai rezekinya untuk memiliki kediaman sendiri dan barangkali akan dicernakan dalam bentuk yang lain.

“Benda dah berlalu. Alhamdulillah dapat rumah RM56,000 saya bersyukur sangat-sangat walaupun harga tak sama dengan rumah yang saya nak siapkan sebelum ini.

“Rumah belum siap (setakat seminggu sebelum Syawal tempoh hari). Saya difahamkan jambatan nak ke kawasan rumah saya itu putus jadi barangkali kerja-kerja pembinaan tergendala.

“Tidak mengapalah, kalau saya susah, saya percaya ada orang lain yang susah. Saya percaya dengan aturan Allah kerana Dia lebih mengetahui segala-galanya.
“Rumah orang lain pun musnah juga dibawa arus banjir. Sebabkan itu saya selalu tanamkan rasa bersyukur buat diri sendiri,” ujarnya.

EBBY tidak kisah masih membujang walaupun usia semakin menghampiri angka 60-an, namun tidak menolak andai bertemu jodoh.
– MUHAMAD IQBAL ROSLI

Surau RM20,000

Tiada niat untuk menunjuk-nunjuk, namun atas dasar ingin menyebarkan hal positif yang barangkali boleh dijadikan amalan bersama.

Sebagai inisiatif peribadi, Ebby dalam usaha membina sebuah surau di sekitar kejiranan kediamannya itu dengan bajet sekitar RM20,000.

Katanya, surau berkenaan tidaklah sebesar mana, namun boleh dijadikan tempat beribadat sesiapa yang berada berdekatan sebelum tiba ke destinasi ditujui.

“Alhamdulillah, ada sedikit rezeki yang saya kumpul juga daripada hasil bantuan kawan-kawan yang beri waktu saya diuji banjir tempoh hari, saya bina sebuah surau yang mampu memuatkan lebih kurang 20 orang jemaah.

“Rumah yang diberikan kerajaan, saya difahamkan, saya tak boleh ‘tambah’ atau sambung pembinaan. Jadi, saya ambil inisiatif bina surau berdekatan rumah tersebut,” katanya.

Dedah Ebby lagi, apa yang dilakukannya hanya memanfaatkan rezeki pinjaman Allah.

Dia percaya, dalam kesempitan diri sendiri, ada kesenangan untuk orang lain.

“Surau tersebut pada mulanya saya buat untuk adik-beradik. Boleh muatkan 20 orang jemaah. Saya cadang, kalau ada sesiapa yang bermusafir, boleh tinggal sementara dalam surau itu.

“Misalnya kalau mereka tak sempat nak balik Kuala Lumpur atau mana-mana, boleh tinggal sementara di surau berkenaan. Tumpang sehari dua semalam, tiada masalah.

“Ada duit sikit dan abang saya pun ada top up (tambah) sikit.

“Alhamdulillah, rezeki ini semua datang daripada Allah. Dia yang izikan dan kalau bukan dengan keizinanNya, saya tak terbuka hati nak buat semua ini,” tuturnya.

MEMBINA surau untuk musafir bermalam berdekatan rumahnya di Hulu Langat, Ebby percaya, dalam kesempitan hidup kita, terselit rezeki orang lain.

Sebulan, tiga kali putus cinta

Diajak berbicara tentang perjalanan hidupnya sebagai seorang lelaki bujang, Ebby tidak kisah masih setia dengan status berkenaan. Dia juga sudah terbiasa menyambut

Aidilfitri tanpa seorang wanita bernama isteri.

Getusnya, tiada lelaki yang berpijak di dunia yang tidak mempunyai impian membina keluarga sendiri.

“Pada usia sekarang, saya dah lali dengan soalan ‘bila nak kahwin’. Sebelum ini waktu usia masih relevan nak kahwin tapi jodoh tak kunjung tiba apabila ditanya soalan sebegitu oleh saudara mara, saya cuma jawab ‘insya-Allah’ sahaja.

“Itu ayat atau jawapan balas selamat saya. Sampai sekarang usia dah 57 tahun masih tak kahwin-kahwin (ketawa).

“Siapa kita nak menidakkan rezeki atau kehendak Ilahi? Kalau ada jodoh walaupun pada usia sekarang, saya terima. Kalau tiada pun, saya dah reda,” katanya.

Bukan tidak pernah berusaha untuk mendirikan rumah tangga, namun Allah SWT lebih mengetahui segala-galanya.

“Allah Maha Mengetahui. Dahulu waktu muda, saya pernah sampai tiga kali putus cinta dalam tempoh sebulan.

“Mana ada lelaki yang hidup nak membujang sampai ke tua, tetapi buat saya, saya dah reda dan pada masa sama, kalau Allah datangkan jodoh atau isteri pada usia 60 tahun pun, saya terima,” katanya menggulung perbualan.

Mengulas sedikit tentang persediaan raya, Ebby yang dikenali menerusi sitkom televisyen Simpang Tiga memberitahu pulang beraya di Negeri Sembilan iaitu rumah kakaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI