BERKETINGGIAN 183 sentimeter, dengan bentuk mata sedikit hooded dan gaya rambut dibiarkan panjang mencecah paras bahu persis bintang Kpop, Nadhir Nasar membuka gelanggang sesi fotografi bersama Pose dengan aura tersendiri.
Pemilik nama lengkap, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar menjengah ke sesi fotografi di Hotel CitizenM, Bukit Bintang seperti dirancang.
Usai wajahnya didandan rapi oleh jurusolek El Manda Zuhairy, aksinya dibidik jurugambar bertugas, Muhamad Iqbal Rosli. Sesi penggambaran berlangsung serba mudah. Barangkali, pengalaman bekerja sebagai seorang model sejak usia 19 tahun telah menjadikannya tidak kekok untuk beraksi di hadapan kamera.
“Saya mula berkecimpung dalam bidang permodelan sejak berusia 19 tahun.
“Kalau saya dibenarkan memahat rezeki dalam dunia lakonan, saya mahu menambat hati dua ‘dunia’ iaitu yang urban dan yang arus perdana.
“Saya tahu perkara itu agak sukar dicapai, namun tidak mustahil andai saya berusaha keras ke arah itu. Pelakon berkaliber seperti Bront Palarae ialah antara anak seni yang sentiasa memberi saya inspirasi untuk bergerak ke arah itu. Insya-Allah, satu hari nanti,” ujar jejaka berusia 24 tahun itu berhemah.
Terkesan menang ketika PKP
Melanjutkan bicara, juara Hero Remaja 2020 itu berkata, selepas menjulang trofi utama program realiti tersebut sekitar Julai tahun ini, bukan mudah untuk dirinya menapak dalam industri.
Sewaktu diangkat sebagai sang juara, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih diwartakan, sekali gus merencatkan perjalanan kariernya untuk terus meliar subur.
“Semua orang terkesan disebabkan pandemik Covid-19, namun untuk saya yang baru hendak memulakan hidup, apa yang berlaku ini disifatkan sebagai cabaran yang mematangkan agar terus bertabah dalam bidang ini.

“Bagaimanapun, saya tidak menyahut semua tawaran yang datang hanya kerana industri bergerak sedikit ‘lembab’ disebabkan Covid-19. Saya selesaikan satu demi satu,” ujarnya.
Bernada kecewa atau sebaliknya, Nadhir sendiri tidak dapat menyembunyikan emosi. Apa jua yang berlaku, dia percaya setiap kejayaan pasti ada kegagalan terlebih dahulu.
“Apa yang baru saya capai dalam bidang ini sekarang mungkin baru lima daripada 100 peratus ruang yang ada. Perjalanan saya masih panjang.
“Hendak merungut pun hanya saya yang boleh dengar. Saya cuma berharap boleh terus mengorak langkah dengan lebih pantas terutama apabila semua ini (pandemik Covid-19) berakhir sepenuhnya,” katanya.

Budak flat
Berbicara terus dengan lelaki asal Petaling Jaya, Selangor itu, dia sentiasa mengingatkan diri. Biar setinggi mana pun terbang mencapai cita-cita, kelak jangan sesekali lupakan akar yang pernah jadi jadi permainan dan mengenal kesusahan.
Nadhir berbangga dan tidak malu untuk mengakui, pernah membesar tinggal di rumah flat di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya.
“Rumah itu sebenarnya milik sepupu saya dan saya pernah tinggal di situ. Sekarang saya tinggal bersama keluarga. Alhamdulillah, cukup makan pakai semuanya.
“Apa yang saya ingin tekankan di sini. Dari mana pun kita datang, jangan pernah malu untuk mengakui asal usul kita. Siapa dan di mana saya sekarang dibentuk oleh siapa saya sebelum ini.
“Saya ada ramai kawan yang pernah bergelar mat rempit dan sekarang sudah pun berjaya dalam hidup.
“Kalau kita percaya dengan bakat yang ada dan letakkan kesungguhan dalam semua usaha kita, saya percaya, kejayaan itu akan mendekat,” luah Nadhir.
Tambahnya lagi, tidak bermakna seseorang yang tinggal di rumah flat atau rumah kos rendah berfikiran kolot atau tidak maju.
“Saya pernah tinggal di Taman Datuk Harun dan Taman Medan (Petaling Jaya). Kawasan yang boleh dikatakan sebagai ghetto (kelas rendah), namun semangat hidup kami sangat tinggi.
“Saya berbangga untuk mengakui saya berkawan dengan golongan yang tinggal di kawasan-kawasan seperti itu. Mereka mengajar saya banyak erti hidup,” kata Nadhir yang merupakan graduan Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara.
Meminati dunia sinema, Nadhir mengakui karya-karya sutradara terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad begitu dekat di hati.
Menyandarkan harapan karier dalam bidang seni berpanjangan, Nadhir juga percaya industri perfileman dan lakonan tempatan sedang bergerak ke arah yang lebih maju.
“Zaman sekarang semua ada dalam Netflix. Saya rindu zaman karya-karya Yasmin sering menghiasi layar perak dan menjentik jiwa penonton.
“Rasanya industri harus bergerak ke hadapan dan menghidupkan kembali karya-karya yang mencerminkan budaya majmuk serta identiti unik masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Sama-sama kita berusaha terus dalam memajukan industri seni kita,” katanya.














