JOHOR BAHRU – Sebanyak 1,377 kemalangan jalan raya direkodkan di negeri ini dalam tempoh enam hari sejak Ops Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 11 kematian dicatatkan sejak dilancarkan pada 29 April sehingga semalam.
Menurutnya, sebanyak 617 saman turut dikeluarkan membabitkan enam kategori kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, dan memotong di garisan berkembar.
“Selain itu, potong barisan, langgar isyarat lampu isyarat dan kesalahan menggunakan alat telekomunikasi.
“Maklumat semasa aliran trafik di semua daerah di Johor mendapati masih lancar dan terkawal serta tiada lokasi yang berlaku kesesakan yang luar biasa,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumarasan berkata, Polis Johor akan terus fokus dan komited dengan penugasan Op Selamat 18 dalam memastikan kelancaran aliran trafik selian memastikan kes-kes jenayah khususnya jenayah pecah rumah dapat dibendung.
“Semua pengguna jalan raya yang memandu pulang ke kampung dan bercuti sempena cuti yang panjang dinasihatkan terus berhemah ketika memandu.
“Jangan pentingkan diri sendiri, kawal emosi dan sentiasa bersabar dengan situasi semasa serta tidak membuat provokasi yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain,” katanya.- KOSMO! ONLINE














