fbpx
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Tengku Ahmad Rithauddeen meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA- Bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur akibat sakit tua pada pukul 8.43 malam semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yang mewakili seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan itu.

“Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati.

“Dalam arena politik, Allahyarham yang dikenali sebagai Ku Deen pernah menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya di sini tadi.

Ismail Sabri berkata, pemergian Allahyarham yang berusia 94 tahun itu juga disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas untuk membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi Menteri Penerangan dan Fungsi Khas (1974).

Allahyarham kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Penerangan (1986).

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 1970 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI