MARAN – Kemeriahan sambutan hari raya bagi warga Felda Wilayah Jengka melonjak berkali ganda apabila bukan sahaja dapat beraya bersama sanak saudara, malah raya penuh bergaya ekoran peningkatan harga sawit.
Dengan kenaikan buah tandan segar (BTS) sekitar RM1,500 satu metrik tan, golongan peneroka mampu meraih pendapatan antara RM6,000 hingga RM20,000 sebulan bergantung kepada keluasan ladang sawit.
Peneroka Felda Jengka 1, Abdul Rahman Dolaji, 85, berkata, dia bersyukur dalam usia emas ini masih berpeluang membina rumah baharu.
Katanya, impian untuk membina rumah baharu bernilai lebih RM100,000 kini menjadi kenyataan, malah dapat digunakan bagi menyambut Aidilfitri nanti.
“Alhamdulillah, hasil simpanan duit sawit itu, sebuah rumah bernilai lebih RM100,000 siap dibina dan hari raya nanti akan dirasmikan bersama anak cucu dan cicit yang pulang beraya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Peneroka Felda Jengka 16, Ahmad Awang, 68, pula berkata, sambutan hari raya kali ini amat bermakna apabila dia dapat membeli perabot baharu dan juga menghias rumah.
Menurutnya, dengan persiapan lengkap, dia menjangkakan sambutan hari raya kali ini amat meriah sekali yang menyaksikan kemakmuran hidup warga peneroka Felda.

“Saya bersyukur anugerah Allah dengan kenaikan BTS sekitar RM1,500 metrik tan. Saya berharap harga ini terus kekal kerana dapat memberikan golongan peneroka kehidupan yang lebih selesa,” ujarnya.
Bagi generasi kedua Felda Jengka 17, Maheran Binayamin, 42, berkata, ekoran pendapatan tinggi peneroka dan kepulangan adik-beradik dan sanak saudara pada Aidilfitri nanti, ia akan mencetuskan kemeriahan yang luar biasa.
Ujarnya, setiap rumah pastinya tidak mempunyai ruang tempat letak kereta untuk anak-anak atau saudara mara apabila ramai warga peneroka telah membeli kereta baharu.
“Kali ini pastinya masing-masing ‘lepas geram’ memperagakan pakaian, hiasan dalaman rumah dan kereta baharu selepas dua tahun tidak dapat beraya bersama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Gabungan Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar, 69, berkata, pendapatan peneroka Felda Jengka yang mewah ketika ini harus disyukuri dan mereka tidak harus membazir dengan membeli barang yang tidak perlu.
Katanya, harga komoditi sawit bergantung kepada permintaan negara luar dan terdedah dengan risiko sebagaimana pernah berlaku harga di bawah RM300 bagi satu metrik tan.

“Rakan-rakan peneroka harus berjimat cermat dan menyimpan dalam tabung amanah atau bank bagi tujuan haji, umrah atau perubatan,” ujarnya.
Di Jerantut, seorang ibu tunggal di Felda Kota Gelanggi Dua, Shasiah Anas, 65, berkata, harga sawit yang melonjak sejak beberapa bulan lalu telah mengubati penderitaan mereka sejak dua dekad lalu selepas harga komoditi itu kerap turun naik.
“Saya bersyukur kerana pendapatan bulanan sekarang mampu menyediakan semua keperluan keluarga apabila memperoleh hasil purata lapan tan metrik, iaitu mencecah hampir RM12,000.
“Saya kini mampu membeli sebuah motosikal baharu jenis Honda Beat berharga RM6,000 secara tunai untuk menghantar dan mengambil cucu di sekolah setiap hari serta kemudahan anak perempuan ke tempat kerja di Felda ini,” katanya.
Shasiah yang baru sahaja pulih daripada kanser payudara memberitahu, sebelum ini mereka cuma menggunakan dua buah motosikal uzur yang dibeli secara ansuran.
Mengenai persiapan Aidilfitri tahun ini, ibu tunggal yang mempunyai empat anak berusia antara 33 hingga 47 tahun dan tujuh cucu itu berkata, dia sudah membeli kelengkapan hari raya untuk anak dan cucunya di samping peralatan membuat kuih-muih.
Seorang ibu tunggal di Felda Kota Gelanggi Empat, Norhuda Hassan, 65, pula memberitahu, dia sudah membeli empat pasang pakaian baharu termasuk kain tenun Pahang untuk digayakan pada hari raya nanti.
“Saya juga berbelanja untuk anak-anak dan cucu sebagai tanda kasih sayang kerana mereka telah banyak memberikan sokongan selepas kematian suami dan semasa melalui kehidupan yang agak susah ekoran kejatuhan harga sawit sebelum ini.
“Mulai minggu ini, saya sibuk menyediakan kuih-muih tradisional Pahang menggunakan peralatan dan bahan memasak yang telah dibeli menggunakan hasil sawit dengan harga hampir RM4,000,” katanya lagi.
Tambahnya, sejak menduduki tanah rancangan Felda pada tahun 1979, inilah kali pertama dia mampu meraih pendapatan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.














