ROMPIN – Pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin memandang serius masalah pesawah atau ‘hero negara’ yang mengalami kemerosotan hasil di sawah Paya Sepayang sehingga membebankan mereka.
Pengarah IADA Rompin, Mohd. Faizul Miran berkata, pada masa ini pihaknya masih menunggu laporan rasmi mengenai hasil di jelapang padi itu termasuk punca kemerosotan hasil.

“Pihak kawalan penyakit Jabatan Pertanian telah turun ke lapangan bagi mengenal pasti punca dan kita juga sentiasa berusaha dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membantu pesawah.
“Antara perkara yang dilihat termasuklah masalah tikus, penyakit padi dan sebagainya, namun kita menunggu laporan rasmi mengenai punca yang menjejaskan hasil petani,” katanya di sini semalam.
Katanya, pihak IADA sentiasa berusaha membantu pesawah yang disifatkan sebagai ‘hero negara’ sama ada dalam menyediakan infrastruktur terbaik dan meringankan beban mereka.
Katanya, pada musim lalu pihak IADA telah menerapkan teknologi penanaman padi dengan kaedah tanaman secara ‘transplant’ di beberapa lot kawasan sawah berkenaan.
“Pada tahun ini kita akan meletakkan kapur di kawasan sawah bagi menyuburkan tanah selain bantuan bajak pertama kepada pesawah bagi meringankan beban mereka,” ujarnya.














