fbpx
MOHD. FADZIL melihat padi yang berkurangan sehingga memaksanya tidak menuai hasil sawah di kawasan penanaman Paya Sepayang, Rompin semalam.

Berbulan-bulan buat sawah, hasil hanya RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Terpaksa membiarkan hasil padi tanpa dituai, malah ada yang hanya dapat 900 kilogram atau RM1,000 bagi kawasan seluas 4.9 hektar.

Demikian nasib yang me­nimpa lebih 100 pesawah di Paya Sepayang di sini yang mengalami kerugian selepas hasil padi jatuh menjunam di kawasan jelapang padi Pahang seluas kira-kira 280 hektar itu.

‘Malapetaka’ itu menyebabkan hasrat mereka untuk menggunakan hasil jualan padi bagi persediaan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja musnah malah mereka terbeban mencari mo­dal memulakan semula penanaman padi yang dijadualkan bermula bulan hadapan.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! mendapati, akibat padi yang tidak menjadi menyebabkan terdapat pesawah yang tidak ­langsung menuai padi dan membiarkannya reput di tengah bendang.

Seorang pesawah Wan Mohamad Kamal Wan Sulaiman, 60, berkata, dia terbeban teruk apabila mengalami kerugian besar selepas hanya mendapat kira-kira 900 kilogram (kg) hasil padi di kawasan sawah seluas 4.9 hektar dengan nilai jualan tidak sampai RM1,000.

“Ini yang paling teruk dan memang saya mengalami kerugian besar, kerana kalau dikira kos bagi kira-kira 1.2 hektar sekurang-kurangnya adalah sebanyak RM4,500 dengan ke­seluruhan kira-kira RM18,000 saya rugi.

“Saya tidak pasti mungkin ia berpunca daripada penyakit tetapi saya menjaga dengan baik seperti meracun mengikut jadual dan keperluan lain, malah saya membaja sebanyak empat kali,” kata­nya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, akibat keadaan itu dia terpaksa menanggung kerugian dan mengeluarkan wang simpanan yang ada bagi memulakan semula penanaman padi yang dijangka bermula pada 15 Mei depan.

Sebahagian pesawah di Paya Sepayang hanya mampu termenung jauh akibat hasil padi yang merosot teruk pada musim kali ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pesawah Mohd. Fadzil Mahmud, 38, berkata, dia terpaksa mem­biarkan padi di sawah yang diusahakannya seluas 1.2 hektar tidak dituai dan reput kerana tiada hasil.

Katanya, meskipun pokok padi tumbuh tetapi buah padi yang ada amat kurang malah banyak padi yang hanya tinggal hampa menyebabkan tidak berbaloi untuk menuai.

“Saya sedih kerana hasil kali ini begitu teruk walaupun kali ini adalah dalam musim utama yang biasanya boleh mendapat hasil yang baik, memang terbeban kerana musim lepas pun tidak berapa menjadi.

“Kalau tiada sumber pendapatan lain memang tidak boleh bersawah lagi selepas ini, macam manalah golongan muda hendak menceburkan diri dalam pertanian khususnya sawah kalau merugikan seperti yang menimpa lebih 100 pesawah di kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, dia berterima kasih kepada pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin yang ba­nyak membantu khususnya dalam penyediaan infrastruktur dan bantuan lain.

Sementara itu, seorang lagi ­pesawah Halijah Dahlan, 61, berkata, dia buntu pada kali ini untuk mendapatkan modal bagi menanam semula padi pada musim hadapan memandangkan mengalami kerugian dan kehabisan wang simpanan.

“Dengan harga racun yang meningkat kita berasa begitu terbeban apatah lagi dalam persediaan menghadapi sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Sawah saya 1.2 hektar hanya dapat hasil 520 kilogram sahaja (kira-kira RM500), saya buntu dan masa ini duit benih padi pun saya tidak dapat bayar lagi begitu juga sawah yang saya sewa, saya tidak tahu lagi apa nak dikatakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN