fbpx

Persaingan pasaran senjata di Afrika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI delegasi Nigeria memeriksa helikopter tentera Mil Mi-28NE Night Hunter ketika pembukaan Pameran Udara Moscow, MAKS-2021 di Zhukovsky, Rusia pada 20 Julai 2021. - AFP

WASHINGTON – Pakar-pakar berpendapat bahawa China berpotensi untuk menggantikan Rusia sebagai pembekal senjata dan peralatan ketenteraan terbesar di Afrika sekiranya sekatan ke atas Moscow terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan.

Menurut laporan akhbar South China Morning Post, buat masa ini, Rusia merupakan pembekal utama bagi senjata dan peralatan ketenteraan di rantau itu, namun sekatan yang dikenakan oleh blok Barat akan mengurangkan perkongsian pasaran bagi Moscow.

Hampir separuh daripada import peralatan ketenteraan Afrika atau 49 peratus datang dari Rusia. Ia termasuk senjata utama seperti kereta kebal, kapal perang, jet pejuang dan helikopter tempur. Bagi senjata kecil pula, antara yang diimport adalah pistol dan senapang seperti siri AK-200 baharu.

Menurut penganalisis, Rusia kini menyediakan lebih separuh daripada senjata kecil yang dijual ke Afrika, iaitu melebihi dua kali ganda daripada pembekal terbesar lain iaitu Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pengarah di Pusat Pengajian Ketenteraan Universiti Stellenbosch, Moses B. Khanyile berkata, memandangkan peralatan ketenteraan Rusia banyak dibekalkan di Afrika, sekatan Barat akan menyukarkannya untuk diselenggara dan dibaik pulih.

Keadaan itu menurut beliau, akan memberi manfaat kepada China selain Perancis, Jerman dan AS.

“Negara-negara ini akan bersaing untuk menggantikan Rusia sebagai pembekal utama senjata di Afrika. China adalah yang paling berpotensi kerana disokong oleh hubungan dagangan dan diplomatik dengan negara-negara Afrika,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kajian bagi Pusat Kajian Strategik Afrika di Universiti Pertahanan Nasional Washington, Joseph Siegle berkata, negara-negara utama yang mengimport senjata dan peralatan ketenteraan dari Rusia di rantau Afrika adalah Algeria, Mesir, Sudan dan Angola.

“Situasi ini amat penting kerana ia menggariskan usaha Rusia untuk bertapak di Afrika Utara,” katanya.

Bagaimanapun, Siegle berkata, Beijing telah pun meneroka ‘laluan’ untuk menembusi rantau itu dengan mengeksport ke negara-negara yang telah menjadi pelanggan utama Rusia seperti Nigeria dan Etiopia. Ia membekalkan kereta perisai dan pelancar roket masing-masing untuk kedua-dua negara tersebut.

Menurut Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), China merupakan pemain yang agak kecil dalam pasaran penjualan senjata. Bagi tahun 2000 hingga 2018, negara itu hanya terdiri daripada kira-kira 7.5 peratus daripada pasaran keseluruhan bagi rantau tersebut.

Bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan di mana Beijing menjadi pengeksport pilihan bagi beberapa buah negara termasuk Mozambique, Zimbabwe, Tanzania dan Zambia.

Selain itu, antara tahun 2017 hingga 2021 pula, Rusia menyumbang sebanyak 44 peratus daripada import senjata utama di rantau itu dan diikuti dengan AS sebanyak 17 peratus, China dengan 10 peratus dan Perancis kira-kira 6.1 peratus. 

Data itu bagaimanapun tidak merangkumi senjata kecil dan ringan, di mana China berkemungkinan mempunyai bahagian pasaran yang lebih tinggi bagi kategori itu.

Menurut SIPRI dalam buku tahunan 2021, jumlah dagangan senjata global bagi tahun 2019 dianggarkan sebanyak AS$118 bilion (RM497.9 bilion). – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI