CERITA penduduk terserempak kelibat wanita berpakaian putih mendukung anak di kawasan gereja lama di tengah malam menjadi bualan ramai. – ILUSTRASI OLEH SHAH HASAN

Terserempak wanita dukung anak di tengah malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kawasan lama yang terbiar dan ditinggalkan dikatakan mempunyai penghuni lain daripada makhluk halus.

Ini termasuk sebuah sisa runtuhan gereja lama yang dikatakan berusia kira-kira 140 tahun terletak di Jalan Kulim – Bukit Mertajam di Seberang Perai, Pulau Pinang yang dikatakan mempunyai cerita menyeramkan tersendiri.

Seorang pengkaji aktiviti paranormal yang pernah datang ke situ ternampak kelibat lembaga berpakaian putih yang melayang ke arah pokok tidak jauh dari situ, namun cuba untuk tidak mengendahkan perkara tersebut.

Selain itu, ada penduduk yang terserempak dengan jelmaan makhluk halus seperti wanita berpakaian putih sedang mendukung anak di kawasan berkenaan.
—————————————————————————————————————————————————
TIDAK jauh dari susur masuk ke Jalan Kulim – Bukit Mertajam di Seberang Perai, Pulau Pinang, terdapat sebuah sisa runtuhan gereja lama yang dikatakan berusia kira-kira 140 tahun.

Dikenali sebagai Sacred Heart of Jesus, Pagar Tras, gereja tersebut pada awalnya dibina untuk masyarakat Katolik yang sebahagian besarnya adalah kaum Cina berketurunan Hakka yang juga bekerja sebagai petani pada waktu itu.

Menurut pengkaji sejarah dan warisan tempatan, terdapat pelbagai peristiwa besar yang pernah berlaku di situ sebelum ini dan masih menjadi bualan hingga ke hari ini.

Antaranya, kisah pembunuhan kejam sekumpulan paderi oleh tentera Jepun pada 1942 serta kejadian sepasukan anggota komunis membunuh diri dalam kawasan terowong sepanjang 3 kilometer (km) yang mereka bina sendiri tidak jauh dari situ.

Dua peristiwa besar itu turut menyebabkan kira-kira 14 keluarga telah dipindahkan ke Sungai Lembu, manakala 30 keluarga lagi telah dipindahkan ke Machang Bubok.

Sementara itu, selebihnya pula difahamkan telah ditempatkan semula di beberapa lokasi seperti Kulim, Kedah serta sekitar Bukit Mertajam dan bahagian pulau di Pulau Pinang.

Namun sejak gereja lama itu terbiar dan sudah tidak digunakan lagi selepas itu, pelbagai cerita misteri dan menyeramkan mula menjadi bualan masyarakat sekitar.

Semua peristiwa mistik dan misteri itu telah menarik perhatian para pengkaji aktiviti paranormal atau pemburu hantu untuk ‘berkampung’ di kawasan runtuhan gereja lama itu.

Salah seorang daripada mereka yang hanya ingin dikenali sebagai Along, 40, berkata, dia pernah ke situ bersama seorang rakan dari Ipoh, Perak kira-kira tiga tahun lalu.

“Alhamdulillah, kami berdua tidak berdepan dengan sebarang peristiwa yang tidak diingini walaupun berada di kawasan runtuhan gereja lama itu hampir sepanjang malam.

GEREJA lama di Jalan Kulim-Bukit Mertajam menyimpan pelbagai cerita mengerikan yang menjadi bualan penduduk sekitar.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan suara salakan anjing serta tangisan bayi sedikit-sebanyak membuatkan kami berasa tidak tenteram sepanjang tempoh itu,” katanya.

Along mendakwa, cuma dia perasan ternampak kelibat lembaga berpakaian putih yang melayang ke arah pokok tidak jauh dari situ, namun cuba untuk tidak mengendahkan perkara tersebut.

“Ketika turun dari kawasan runtuhan gereja itu, saya sekali lagi terperasan ada satu lembaga cuba melintas jalan dari kawasan semak berhampiran menuju ke kawasan perkuburan di bahagian atas.

“Ketika itu, saya dan rakan hanya terdiam dan memandang sesama sendiri,” katanya yang bagaimanapun mengakui bahawa tempat itu sememangnya agak ‘keras’ dan menyimpan 1,001 misteri yang sukar untuk dijawab.

Dalam pada itu, seorang penduduk di kawasan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 55, mengakui, pelbagai cerita misteri dan kurang enak didengarinya berlaku di kawasan itu.

Kataya, setakat ini, dia tidak pernah diganggu atau terserempak dengan sebarang kejadian aneh ketika melalui kawasan tersebut terutamanya pada waktu malam.

“Bagaimanapun, ada seorang rakan mendakwa pernah ternampak kelibat lembaga berpakaian lengkap seperti tentera melintas jalan menuju ke kawasan perkuburan Kristian itu kira-kira pukul 3 pagi,” katanya berkongsi cerita.

Selain itu, ada penduduk mendakwa pernah terserempak dengan jelmaan makhluk halus seperti wanita berpakaian putih sedang mendukung anak di kawasan berkenaan.

Kisah gereja lama itu turut diakui oleh seorang penduduk setempat yang hanya mahu dikenali sebagai David, 55.

Katanya, sejak kecil mendiang datuknya selalu bercerita mengenai perkara itu dan memberitahu bahawa rata-rata penduduk pada masa itu juga terpaksa hidup dalam ketakutan disebabkan oleh kekejaman tentera Jepun.

“Menurut datuk, dia hanya sempat ke gereja itu beberapa kali dan tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke situ sejak pendudukan Jepun kerana terlalu takut.

“Ketika komunis menjadikan kawasan itu sebagai kubu mereka pula, datuk saya sudah lama meninggal dunia kerana mendapat serangan jantung,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN