PETALING JAYA – Pengusaha hotel di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega apabila bufet Ramadan yang disediakan di premis mereka mendapat sambutan hangat daripada orang ramai untuk berbuka puasa.
Walaupun ramai yang masih terkesan ekoran pandamik Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu, ia tidak menjadi alasan untuk sesetengah pelanggan berbelanja ratusan ringgit demi menikmati pelbagai aneka juadah yang ditawarkan pihak hotel.
Malah, tinjauan Kosmo! mendapati hampir kebanyakkan hotel yang menyediakan bufet Ramadan telah menerima tempahan penuh daripada pelanggan sejak dari hari pertama berpuasa.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, kadar bufet Ramadan di bandar raya ini adalah sekitar RM50 hingga RM79.
Pengurus Besar Hotel Raia Terengganu, Engku Morris Engku Hussin berkata, pihaknya menerima 400 tempahan daripada pelanggan dalam sehari sepanjang bulan puasa.
“Sambutan sangat luar biasa menyebabkan kami mengubah lokasi bufet Ramadan dari kafe ke dewan yang lebih luas demi keselesaan pelanggan.
“Kami jangkakan dapat menerima perolehan sekurang-kurangnya RM500,000 bagi bufet Ramadan tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, kadar bufet Ramadan Hotel Raia pada tahun ini terpaksa dinaikkan kepada RM70 berbanding RM55 pada tahun lalu berikutan kenaikan harga bahan mentah.
Di Kota Bharu, Kelantan, Pengurus Besar Hotel Ibis Styles, Zac Harun berkata, pihaknya tidak menyangka baucar bufet Ramadan yang dijual pihaknya pada harga RM59 laris seperti pisang goreng panas.
Katanya, pelanggan juga memaklumkan bahawa baucar bufet yang ditawarkan itu antara yang termurah di bandar ini.
“Harga asal bufet Ramadan dengan 100 hidangan di hotel ini adalah RM69 untuk seorang pelanggan. Tanpa membeli baucar awal, harga yang ditawarkan oleh kami sudah berpatutan,” jelasnya.
Tambah beliau, pakej bufet Ramadan di hotel berkenaan sudah penuh sehingga ke hari ketujuh puasa dan mereka terpaksa mengehadkan pelanggan yang datang secara walk-in.
Di Kuala Lumpur, Pegawai Eksekutif Food and Beverage (FnB) Corus Hotel, Matthew berkata, premisnya memberikan harga istimewa iaitu RM108 untuk dewasa, manakala RM70 bagi kanak-kanak untuk bufet Ramadan tahun ini.
“Untuk dua hari pertama, kami baharu sahaja membuat percubaan dengan kapasiti yang lebih sedikit iaitu di bawah 100 orang. Namun, kami anggarkan kehadiran seramai 150 hingga 200 orang selepas ini,” katanya.
Tambahnya lagi, Ramadan kali ini menyaksikan lebih 200 sajian terdiri daripada makanan tradisional, kontemporari serta hidangan barat dan timur tengah ditawarkan kepada pelanggan.
Di Melaka, promosi bufet Ramadan di hotel-hotel di negeri ini mendapat sambutan menggalakkan sejak hari pertama umat Islam berpuasa.
Pengurus Besar Hotel MITC, Sazali Sabri berkata, meskipun berdepan dengan cabaran penguatkuasaan frasa ‘Ramadan’ dan ‘Iftar’ yang dikhususkan kepada hotel mendapat pensijilan halal, namun tempahan bufet terus diterima.
Katanya, rata-rata tempahan diterima adalah daripada pelanggan setia yang meminati menu-menu signatur termasuk set kari kepala ikan, asam pedas selain daging salai masak lemak cili api.
“Kami tidak menerima mana-mana pembatalan tempahan, malah sambutan untuk bufet ini sangat menggalakkan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga masih mengekalkan harga yang sama seperti tahun lalu iaitu RM128 bagi setiap set.
Di Ipoh, Perak, orang ramai tetap teruja membuat tempahan sekalipun berlaku kenaikan bagi pakej bufet Ramadan.
Penasihat Hotel Excelsior Ipoh, Mariana Hamid berkata, selain tempahan individu, banyak juga tempahan diterima secara berkumpulan,” katanya.















