PETALING JAYA – Syarikat hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan CIDB e-Construct Services Sdn. Bhd. (CIDBEC), anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan British Standards Institution (BSI) Malaysia pada Jumaat.
Menerusi MoU tersebut, UDA mengeratkan jalinan kerjasama dengan CIDBEC dan BSI Malaysia dalam menyediakan latihan kepada kakitangan dan vendor berdaftar UDA sebagai persediaan menggerakkan pelaksanaan Pemodelan Maklumat Pembangunan (BIM).
Walaupun kesedaran tentang BIM di Malaysia kian meningkat, pengetahuan dalam mengendalikan dan mengaplikasikan kaedah BIM dalam kalangan penggerak industri pembinaan masih rendah.
Tinjauan BIM oleh UDA pada Julai 2021 mendapati penggunaan BIM dalam kalangan vendornya agak rendah dan salah satu punca adalah kerana kos yang tinggi untuk latihan BIM.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany berkata, selari hasrat kerajaan mengadaptasi evolusi perindustrian keempat (IR 4.0), pihaknya sentiasa mengikuti penggunaan teknologi terkini dalam pembangunan hartanahnya dan salah satu inisiatif adalah mendigitalkan industri pembangunan hartanah melalui pelaksanaan BIM.
“Pelaksanaan BIM di UDA dapat membantu mengenal pasti dan mecegah percanggahan aktiviti dalam binaan pada fasa reka bentuk awal, seterusnya meminimumkan ulangan kerja dan menyediakan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan dalam masa dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak tahun lalu, UDA telah mula menggunakan BIM dalam sektor pembangunan hartanah.
Antara projek-projek yang mengaplikasikan model ini adalah Residensi Akasia Jubilee, Dedaun Heights dan 38 Bangsar Residensi. – KOSMO! ONLINE