PADANG BESAR – Kerinduan untuk berjumpa anak lelaki selepas terpisah lebih dua tahun akibat sempadan negara ditutup susulan Covid-19 membuatkan seorang bapa sanggup menunggu lebih enam jam.
Menurut Khairul Anwar Aman, 36, dia datang dari Kuala Terengganu bagi menjemput anak lelakinya, Nik Fendi yang berusia enam tahun, ibu mentua dan empat lagi ahli keluarga dari Thailand.
“Ibu mentua saya tinggal di Betong, Wilayah Yala, Thailand. Seminggu sebelum sempadan ditutup, saya dan isteri pulang ke kampung ibu mentua di Yala dan meninggalkan anak lelaki di sana.
“Sepanjang tempoh lebih dua tahun ini, saya hanya berhubung menerusi panggilan video bagi menghilangkan kerinduan terhadap anak sulung saya. Begitu juga cara isteri melepaskan rindu dengan ibunya,” katanya.
Tambahnya, anak sulungnya masih tidak berjumpa dan melihat adik perempuannya yang baru berusia dua tahun selepas terpisah akibat penutupan sempadan kedua-dua negara.
Namun, hasrat untuk bertemu enam ahli keluarganya dari Thailand terbantut apabila mereka diarah berpatah balik ke Thailand kerana hanya melakukan ujian RTK-Antigen.
“Sepatutnya mereka perlu melakukan saringan PCR di Thailand dalam tempoh 48 jam dan apabila tiba di negara ini, mereka menjalani RTK-Antigen,” ujarnya.
Dia yang sempat bersua muka buat kali pertama selepas lebih dua tahun dengan anaknya di Pos Imigresen Wang Kelian kelihatan sebak selain sempat bersalam dan mengusap kepala kanak-kanak itu.
Ahli perniagaan itu berkata, dia sudah menjangkakan mungkin berlaku sedikit kekeliruan memandangkan semalam adalah hari pertama pembukaan sempadan darat di Wang Kelian.
Kesemua enam ahli keluarganya berpatah balik ke Yala, manakala Khairul Anwar bersama isteri dan anaknya pulang ke Kuala Terengganu.

Di Bukit Kayu Hitam, Noorasyikin Bunnawi, 31, dan sepupunya, Nurainyati Salleh, 28, tidak dapat menahan kesedihan apabila mengalirkan air mata sebaik dapat memeluk ibu masing-masing iaitu Siti Zubaidah Abdullah, 62, dan Che Wa Abdullah, 67, yang baru tiba dari kampung di Wilayah Trang, Thailand.
Mereka dibenar menjemput ibu masing-masing di pintu sempadan Malaysia-Thailand atas faktor kesihatan memandangkan Siti Zubaidah menghidap penyakit jantung, manakala Che Wa pula mempunyai masalah darah tinggi.
Menurut Noorasyikin yang merupakan seorang jururawat di Shah Alam, Selangor, dia bimbang dengan kesihatan ibunya yang menghidap penyakit jantung sepanjang mereka terpisah sejak Oktober tahun lalu.
“Ibu saya pulang ke Thailand kerana nenek saya meninggal dunia dan dia tidak dapat masuk ke Malaysia sejak itu kerana permohonan MyTravelPass yang dibuat beberapa kali gagal.
“Saya bersyukur kerana kebimbangan dan kerinduan saya kepada ibu akhirnya terlerai hari ini yang merupakan hari pertama pembukaan sempadan Bukit Kayu Hitam ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Suasana di pintu masuk antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini semalam lengang pada hari pertama pembukaan semula sempadan Malaysia-Thailand.
Pintu sempadan dibuka pada pukul 6 pagi dan hanya kelihatan kenderaan perdagangan yang keluar masuk antara dua negara.
Kelancaran pembukaan sempadan antarabangsa di Pos Imigresen Wang Kelian di sini sedikit terganggu berikutan kekeliruan maklumat mengenai prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengembara Thailand.
Pintu pagar sempadan Malaysia dibuka tepat pada pukul 8 pagi, manakala pintu pagar sempadan Thailand dibuka pada 8.30 pagi untuk memberi laluan kemasukan warga negara jiran dan pengembara dari Thailand ke negara ini. -KOSMO! ONLINE
















