SEBELUM ini, sepanjang persisiran pantai Kilifi yang terletak di timur laut Kenya dihiasi pasir yang memutih cukup mempesonakan sesiapa sahaja.
Namun begitu, pencemaran yang berlaku di kawasan itu telah menyebabkan pemandangan di sepanjang pantai itu menjadi satu keadaan yang tidak selesa kepada pengunjung.
Pencemaran seperti selipar dan sampah plastik boleh dilihat di sepanjang pantai itu.
Menyedari akan permasalahan tersebut, sebuah pertubuhan tidak bermotifkan keuntungan iaitu Ocean Sole mengambil inisiatif untuk mengekang pencemaran plastik di kawasan terbabit daripada terus berleluasa.
Tindakan itu diambil selaras dengan perdebatan isu pencemaran plastik yang menjadi topik hangat dibincangkan ketika Kenya menjadi tuan rumah bagi Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) edisi kelima baru-baru ini.
Dalam hal ini, kerajaan Kenya turut digesa untuk bersetuju dengan rangka kerja perjanjian untuk membendung pencemaran plastik.

Pada masa kini, kurang daripada 10 peratus bahan plastik dikitar semula, dengan kebanyakannya dibuang di lautan dan tapak pelupusan sampah.
Untuk itu, Ocean Sole mengambil inisiatif dengan mengitar semula selipar terbuang dan sampah plastik lain yang terdapat di sepanjang pantai dan laluan air untuk dijadikan arca berwarna-warni dan juga mainan kanak-kanak.
Sampah yang terkumpul di pantai yang terletak di lautan Hindi itu bukan hanya datang dari laut, tetapi juga dari sungai dan terusan di negara terbabit.
Semasa sesi pembersihan, para sukarelawan mengutip sampah seperti penutup botol plastik, pembalut gula-gula dan juga selipar.
Selipar yang dikutip kebanyakannya jenis murah, diperbuat daripada bahan plastik yang menyerupai getah.
Selain itu, Ocean Sole juga membeli sampah plastik terutamanya selipar yang dikumpul oleh penduduk tempatan.
Ini sekali gus, memberikan mereka sedikit wang tambahan untuk menyara keluarga.
“Selipar ibarat sepasang kasut yang paling biasa dan mampu dimiliki oleh orang ramai termasuk yang kaya atau miskin di sini. Semua orang mempunyai sepasang selipar.
“Memandangkan selipar sangat mudah untuk dibeli, mereka akan membuangnya begitu sahaja untuk mendapatkan yang baharu,” jelas penyelaras pengumpulan selipar Ocean Sole, Lilian Mulupi.
Katanya, selipar yang dibuang itu kemudian menjadi sebahagian daripada bahan yang mencemarkan alam sekitar.
Mulupi menjelaskan, sampah plastik yang dikumpul di sepanjang kawasan persisiran pantai itu akan dibersihkan dan disusun mengikut kategori.
Plastik kertas dan botol dijual untuk dikitar semula dan selipar pula akan dihantar ke bengkel di Nairobi untuk diubah menjadi arca seni.
Dalam pada itu, penyelia pengeluaran Ocean Sole, Jonathan Lenato berkata, setiap minggu mereka menerima kira- kira 1.2 tan selipar yang telah dikumpul.
“Jadi, jika dikumpul sebenarnya kita menerima lebih 40 tan selipar terbuang dalam tempoh setahun.
“Selipar yang dikumpul sangat banyak dan kami mempunyai artis seni yang akan mengubahnya menjadi arca menarik,” jelasnya.
Untuk itu, berpuluh-puluh artis seni berkhidmat dengan Ocean Sole untuk mengubah selipar menjadi arca menarik yang berwarna-warni dan mainan kanak-kanak.
Pelbagai arca seni dihasilkan daripada selipar dibuang termasuk dijadikan arca berbentuk gajah dan zirafah yang kemudian dijual pada harga tinggi.
Karya seni unik yang dihasilkan sepenuhnya daripada sampah yang dibuang ke laut itu kebanyakannya dijual di luar negara.

Menurut kenyataan Ocean Sole, mereka mengitar semula antara 750,000 sehingga satu juta selipar setahun dan telah mencipta sekitar 100 peluang pekerjaan secara sepenuh masa.
Dalam pada itu, pengasas Ocean Sole, Julie Church berkata, langkah yang dilakukan mereka itu adalah penyelesaian berasaskan perdagangan kepada masalah global pencemaran marin.
“Langkah ini dapat mengurangkan masalah pencemaran laut.
“Kami melakukannya melalui perniagaan dengan mengitar semula selipar menjadi arca dan kemudian menjualnya,” jelasnya.
Sementara itu, seperti kebanyakan negara lain, selipar merupakan ‘kasut’ pilihan berjuta-juta orang di Kenya.
Ia dipakai oleh kanak-kanak dan orang dewasa serta pelancong yang melawat kawasan pantai di negara tersebut.
Bagaimanapun, sebaik sahaja selipar tidak digunakan dan dibuang di merata-rata, ia akan memberi kesan yang lebih berbahaya kepada alam sekitar.

Selipar yang dibuang di kawasan bandar dan kampung dihanyutkan menerusi sistem kumbahan dan berakhir di pantai di Kenya setiap tahun.
Selain itu, selipar yang tidak terurai itu dan sisa plastik lain selalunya berakhir di pantai negara itu kerana dibawa oleh arus deras melalui jalan laut.
“Pencemaran di semua saliran air adalah masalah besar. Sungai tersumbat dengan plastik, getah dan segala-galanya.
“Apabila orang mengatakan bahawa lautan adalah sup plastik, ia benar-benar berlaku kerana plastik tidak hilang. Hanya sedikit sahaja plastik terurai kepada bahagian kecil,” jelas Church yang dilahirkan dan dibesarkan di Kenya.
Tambahnya, kesan pembuangan plastik yang terurai itu akan dimakan ikan dan lambat laun boleh memasuki rantaian makanan manusia.
Sementara itu, Ocean Sole yang ditubuhkan pada 1997 adalah hasil inspirasi Church yang ketika itu merupakan seorang pekerja dalam projek pemuliharaan penyu di pulau terpencil di Kiwayu berhampiran sempadan Kenya dan Somalia.
Semasa berada di sana, dia terkejut apabila mendapati pantai-pantai yang indah ‘berselerak’ dengan pelbagai objek plastik yang merosakkan alam dan menjadi penghalang kepada penyu untuk kembali ke habitatnya.
Ketika itu, dia melihat bagaimana kanak-kanak tempatan menggunakan serpihan plastik terbuang yang ditemui di tepi laut untuk mencipta mainan mereka sendiri.
“Dari situ, terlintas di fikiran saya bagaimana jika kita boleh melancarkan projek yang membantu membersihkan pantai dan juga meningkatkan pembangunan dalam komuniti.
“Saya kemudian menggalakkan wanita tempatan untuk mengumpul, mencuci, memproses selipar yang dibuang dan mengubahnya menjadi arca berwarna-warni untuk mendapatkan keuntungan,” jelasnya
Tambahnya, pada ketika itu, program tersebut dilaksanakan secara kecil-kecilan dan idea itu dapat menjadikan aktiviti pemuliharaan dan pembangunan berjalan seiring.














