fbpx
KOMUNITI pemelihara burung kakak tua bersama ahli keluarga berhimpun di sekitar Shah Alam, Selangor baru-baru ini untuk melakukan aktiviti free fly. –AFIQ RAZALI

Kepuasan beri kakak tua terbang bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKUMPULAN peminat dan pemelihara burung kakak tua melatih burung masing-masing untuk terbang bebas di udara sebelum hinggap kembali kepada pemiliknya dalam aktiviti dinamakan free fly yang menjadi antara obsesi unik terbaharu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Burung untuk dilatih free fly ini juga memerlukan penjagaan rapi dalam aspek pemakanan dan kosnya sekitar RM100 sebulan bagi membeli makanan berupa nestum, palet dan sayuran.

Begitulah sebahagian daripada cabaran dan keseronokan aktiviti free fly (terbang bebas) burung kakak tua yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penjinak unggas berkenaan.

Aktiviti free fly bermaksud kakak tua dibiarkan terbang bebas di kawasan lapang dalam tempoh tertentu bagi membolehkannya melakukan rutin seperti burung liar lain.

—————————————————————————————————————————————-

SELEPAS hampir tiga bulan melatih burung kakak tua, lelaki berusia 35 tahun itu memberanikan diri melepaskannya di kawasan lereng Bukit Antarabangsa, Selangor.

Burung daripada spesies Sun conure itu dibiarkan bertenggek seketika di atas bahu Ale Muhaydor Syafiri sebelum dibiarkan terbang ke arah bukit yang dipenuhi pohon menghijau.

Burung berwarna kuning keemasan itu terbang jauh sehingga hilang daripada pandangan Ale Muhaydor. Selepas lima minit terbang, burung seberat 200 gram itu masih tidak kelihatan.

Situasi itu membuatkan Ale Muhaydor mula berasa cemas sehingga peluh keluar pada dahinya. Rentetan itu, dia segera mencapai wisel yang digantung pada lehernya.

Bunyi nyaring daripada tiupan wisel tersebut berjaya memecah kesunyian kawasan berkenaan sehingga membuatkan burung kakak tua yang sedang beristirahat di atas pohon tersentak.

Lantas burung kakak tua bernama Miko itu bergegas terbang sebelum hinggap di atas lengan Ale Muhaydor. Kemudian, burung kakak tua itu diberi makan berupa palet sebagai ganjaran terhadap kesetiaannya.

Begitulah sebahagian daripada cabaran dan keseronokan aktiviti free fly (terbang bebas) burung kakak tua yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penjinak unggas berkenaan.

Aktiviti free fly bermaksud kakak tua dibiarkan terbang bebas di kawasan lapang dalam tempoh tertentu bagi membolehkannya melakukan rutin seperti burung liar lain.

SYIMIR AHMAD (dua dari kiri) dan rakan-rakan komuniti FFPM melepaskan burung kakak tua masing-masing untuk terbang bebas.

“Saya bela burung kakak tua ini sejak dua tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) selepas terpengaruh dengan adik yang sering menyertai aktiviti free fly.

“Disebabkan itu, saya pun terpanggil untuk memelihara burung ini. Kepuasan sebenar main free fly ini apabila melihat burung yang dibiarkan terbang kembali ke pangkuan selepas ‘dipanggil’.

“Ini bermakna rutin latihan yang dilakukan selama berbulan-bulan berhasil. Burung juga boleh hidup bebas dan tidak terkurung saja dalam sangkar,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Ale Muhaydor yang bekerja sebagai juruteknik swasta di ibu kota memaklumkan, dia memiliki empat ekor burung kakak tua daripada spesies small parrot, Sun conure dan Green rosella.

Terangnya, burung berkenaan dibeli di pasaran dengan harga sekitar RM400 seekor pada usia sebulan sebelum dipelihara dalam sebuah sangkar kecil.

Cerita Ale Muhaydor, sebelum dibiarkan terbang bebas, setiap burung kakak tua perlu dilatih terlebih dahulu menerusi beberapa modul latihan khusus selama beberapa bulan.

“Proses melatih burung ini memerlukan sedikit kesabaran dan perlu bermula secara berperingkat. Ia bermula dengan latihan memanggil nama atau tiupan wisel setiap hari.

“Ia diikuti dengan latihan recall (dari tempat bertenggek kepada tuan) sebelum modul recall berhalangan dalam bangunan. Kemudian, burung ini perlu dilatih terbang dengan bantuan tali yang diikat pada kaki.

“Selepas burung sudah selesa dengan persekitaran, baru boleh terbang bebas. Proses melatih burung ini mengambil masa tiga bulan. Semua modul latihan saya belajar menerusi internet sahaja,” jelasnya lebih lanjut.

Burung untuk dilatih free fly ini juga memerlukan penjagaan rapi dalam aspek pemakanan. Menurut Ale Muhaydor, dia membelanjakan sekitar RM100 sebulan bagi membeli makanan berupa nestum, palet dan sayuran.

KESERONOKAN aktiviti ini adalah apabila burung kakak tua yang dilepaskan ke udara kembali hinggap pada tubuh pemiliknya.

Bagi menambah keseronokan melakukan aktiviti free fly, lelaki berasal dari Gombak, Selangor itu menyertai beberapa komuniti termasuk Free Fly Parrot Malaysia (FFPM).

“Menerusi komuniti berkenaan, saya dapat berkenalan serta bertukar pandangan dengan lebih ramai orang yang mempunyai minat sama iaitu melatih dan menerbangkan burung kakak tua.

“Lagi pun terbangkan burung secara beramai-ramai ini lebih menyeronokkan. Jadi, burung pun boleh bermain dan makan bersama burung lain di kawasan lapang,” terangnya.

Sementara itu, salah seorang pengasas bersama FFPM, Syimir Ahmad Safawi, 31, berkata, komuniti berkenaan ditubuhkan sejak tahun 2017 bagi mengeratkan silaturahim antara ahli.

“Saya merupakan antara individu terawal yang menyertai komuniti ini. Pada dua tahun awal, jumlah keahlian sangat rendah sebelum meningkat secara mendadak ketika PKP.

“Disebabkan PKP, ramai orang mula berminat memelihara burung kakak tua bagi menghabiskan masa terluang di rumah. Kini jumlah komuniti kami menghampiri 1,000 orang,” ulasnya.

Lelaki berasal dari Taiping, Perak itu menambah, FFPM giat menganjurkan aktiviti free fly secara berkumpulan di pekarangan Stadium Shah Alam dan Emlina East setiap minggu.

Katanya, kedua-dua lokasi tersebut membolehkan ahli komuniti FFPM menerbangkan burung peliharaan mereka secara beramai-ramai.

“Apabila kami buat program mingguan seperti ini, ramai yang hadir termasuk bersama ahli keluarga. Meskipun
terbang secara ramai-ramai, tetapi burung ini masih mampu mengenal tuannya apabila dipanggil.

KANAK-KANAK juga teruja menyaksikan burung-burung kakak tua yang berwarna-warni.

“Ini menunjukkan kakak tua merupakan spesies burung sangat bijaksana, patuh arahan dan setia kepada tuannya,” ulasnya yang berpengalaman hampir sedekad memelihara unggas berkenaan.

Sebagai seorang berpengalaman, Syimir Ahmad memaklumkan, tidak semua spesies burung kakak tua sesuai dilatih untuk aktiviti free fly di luar.

Terangnya, secara dasarnya burung kakak tua ekor panjang merupakan spesies terbaik untuk aktiviti tersebut terutamanya jenis Blue Gold Macaw.

“Secara lumrahnya semua spesies burung kakak tua boleh terbang. Tetapi kalau untuk aktiviti free fly ini jenis yang terbaik adalah Blue Gold Macaw.

“Antara faktornya adalah ciri fizikal spesies ini yang berekor panjang, bersaiz besar, mudah dilatih serta mudah mesra dengan manusia. Lagipun ia mudah diperoleh dalam pasaran tempatan dengan harga antara RM7,000 hingga RM9,000 seekor,” katanya.

Menurutnya, setiap pemilik burung kakak tua di negara ini perlu mendapatkan lesen peliharaan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

Pemilik yang tinggal di rumah apartmen dan kondominium pula perlu mendapatkan kebenaran pihak pengurusan terlebih dahulu bagi mengelak timbul masalah dengan jiran.


BURUNG kakak tua berpeluang terbang bebas di ruang udara menerusi aktiviti free fly.

Tambahnya lagi, aktiviti free fly hadir dengan cabaran tersendiri terutama risiko burung hilang apabila dibiarkan terbang di kawasan terbuka.

Ceritanya, dia sendiri pernah melalui detik mencemaskan apabila burung kakak tua peliharaannya hilang selama beberapa hari ketika melakukan free fly di pekarangan Stadium Shah Alam.

“Walaupun sudah dilatih tetapi tidak mustahil burung itu boleh hilang. Ini kerana burung kakak tua sangat sensitif dengan faktor persekitaran seperti bunyi atau kehadiran pemangsa. Ini membuatkannya stres dan melarikan diri.

“Pernah sekali burung saya hilang, tetapi mujur ada orang jumpa sebelum menghubungi saya beberapa hari kemudian. Setiap burung saya diletakkan label maklumat pemilik pada kaki sebagai langkah berjaga-jaga,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN