SELESAI mengambil tempat duduk, tangan kanan Muhammad Fikri Afif Muhamad Daud, 28, pantas mencapai sebatang pen lukisan berwarna hitam di atas sebuah meja panjang yang terletak di sisinya.
Di hadapannya, seorang model sedang berdiri tegak sambil memberikan gaya terbaiknya untuk dilakar Fikri.
Jari-jemari Fikri kemudiannya melakar fesyen gaya wanita di hadapannya itu dan selepas 10 minit lakarannya siap.
Ternyata, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mempunyai bakat yang mengagumkan dalam penghasilan lakaran fesyen.
Tugas utama seorang pelakar fesyen adalah untuk menterjemahkan rekaan busana dan fesyen menerusi lukisan.
Pelakar bebas menghasilkan lukisan mengikut rekaan sendiri atau berasaskan konsep yang dicetuskan oleh pereka fesyen meliputi pakaian, aksesori dan juga kasut.

Kebanyakan pelakar fesyen bekerja secara bebas untuk beberapa syarikat berbeza memandangkan ia merupakan satu industri yang penuh persaingan.
Jelas Fikri, seorang pelakar haruslah berkebolehan dan mampu untuk menterjemahkan hasil kerja mereka dalam kualiti yang tinggi dan sama seperti apa yang dimahukan pelanggan.
“Pelakar boleh menggunakan lukisan, kolaj atau perisian memanipulasi gambar bagi menghasilkan sesebuah lakaran.
“Secara asasnya, seorang pelakar fesyen akan bekerja secara rapat dengan pereka fesyen dan pengarah seni untuk menghasilkan imej visual yang artistik, unik dan kreatif dengan bantuan media tradisional dan digital,” katanya kepada K2.
Jelas Fikri, perjalanannya sebagai seorang pelakar fesyen sehingga berjaya bekerja dengan nama-nama besar dalam industri fesyen bermula daripada minat yang mendalam dan bakat diwarisi daripada bapanya.
“Saya tidak mendapatkan pendidikan formal dalam bidang seni atau rekaan fesyen.
“Bakat yang dimiliki adalah mungkin daripada bapa yang merupakan seorang guru subjek Pendidikan Seni yang sudah mendedahkan saya terhadap lukisan dan penggunaan warna sejak kecil selain minat yang mendalam terhadap lakaran fesyen,” ujarnya.

Selepas tamat persekolahan, Fikri kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina, namun masih meneruskan minatnya itu dengan melakukan lakaran bagi mengisi masa lapang.
“Biarpun ibu dan bapa saya menyokong minat ini sepenuhnya, namun saya menyambung pengajian dalam bidang seni bina dan melakukan lakaran hanya secara suka-suka,” katanya.
Peribahasa tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu cukup bertepatan dengan Fikri apabila pada tahun 2016, bakatnya mula disedari oleh salah satu jenama jam tangan mewah dan paling ikonik di dunia, Jaeger-LeCoultre untuk menghasilkan lakaran fesyen buat jenama itu.
“Pada tahun 2016, saya dilamar oleh pihak Jaeger-LeCoultre untuk membuat lakaran fesyen bagi salah satu pertunjukan fesyen yang diadakan jenama berprestij itu.
“Ketika itu, saya diberi peluang untuk melukis busana yang diperagakan oleh tetamu dan juga pihak media yang menghadiri acara tersebut untuk diabadikan dalam bentuk lakaran fesyen.
“Bertitik tolak dari situlah saya mula bertukar-tukar kad nama sehingga dirisik jenama-jenama lain yang mula mengetahui tentang lakaran-lakaran fesyen yang saya hasilkan,” ujarnya merendah diri.
Tidak lama kemudian, Fikri sekali lagi dilamar untuk menghasilkan lakaran secara langsung bagi jenama fesyen terkenal Itali iaitu Gucci dan juga majalah wanita terkenal, ELLE Malaysia.
“Namun, ketika itu, saya akui sedikit gementar memandangkan dalam acara lakaran fesyen secara langsung, saya berdepan dengan ramai tetamu yang beratur di hadapan saya untuk mendapatkan lakaran fesyen mereka.
“Justeru, saya terpaksa menghasilkannya dalam tempoh masa yang agak singkat,” ujar Fikri yang lazimnya menyiapkan sekitar lima hingga enam lakaran dalam tempoh satu jam.

Rezeki lakaran fesyen Fikri ternyata semakin berkembang apabila tahun lalu, dia menjadi pelakar fesyen untuk filem syarikat hiburan terkenal dunia iaitu Disney bagi filem bergenre jenayah komedi lakonan Emma Stone, Cruella.
Fikri diminta untuk melakar ilustrasi fesyen bagi watak utama filem itu iaitu Cruella yang merupakan seorang penjahat penuh bergaya.
“Saya ditugaskan untuk menghasilkan semula kesemua gaya fesyen yang ditampilkan dalam filem tersebut dalam bentuk lakaran fesyen.
“Namun, yang menariknya, gaya ikonik Cruella itu perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih tradisional, sesuai permintaan pelanggan,” katanya yang menganggap itu pencapaian terbaik dan paling diingati sepanjang bergelar pelakar fesyen.
Meskipun berdepan cabaran dalam cabang lakaran yang dipilihnya itu, Fikri bersyukur kerana mempunyai pelanggan yang tidak cerewet dan berjaya menjalin kerjasama dengan baik.
Malah, untuk projek terbaharunya, Fikri sedang bekerjasama dengan seorang rakannya dari Brunei bagi menghasilkan lakaran fesyen untuk sebuah jenama pakaian dikenali sebagai Bilang.
“Ketika ini saya sedang bekerja secara maya dalam menghasilkan lakaran buat model bagi jenama tersebut.
“Ini juga merupakan salah satu usaha saya untuk meneroka lebih banyak peluang lagi dalam bidang rekaan fesyen bagi menghasilkan lakaran lebih bermutu tinggi,” ujarnya.














