KISAH seram di kawasan sekolah adalah biasa kita dengar, lebih-lebih lagi melibatkan sekolah berasrama penuh.
Tetapi kisah seram yang dipaparkan dalam kolum Mitos minggui ini memaparkan kejadian pelik dan menyeramkan berlaku di sebuah sekolah harian.
Kisah ini tentang seorang guru yang tertidur di bilik disiplin pada petang hingga tersedar pada waktu maghrib. Lebih menghairankan semasa mahu pulang, dia terserempak dengan seorang cleaner sekolah yang masih bekerja walau hari malam.
Keesokan harinya, dia terkejut dan berasa seram apabila mengetahui cleaner yang dilihatnya tidak bekerja kerana cuti sakit pada hari sebelumnya.
————————————————————————————————————————————————–
Kisah yang diceritakan ini adalah pengalaman seorang pesara guru yang mahu dikenali sebagai Sam yang kini menetap di sebuah daerah di Johor.
Peristiwa pelik tetapi menyeramkan itu berlaku semasa dia bertugas di sebuah sekolah menengah di Johor, 20 tahun lalu.
Disebabkan sekolah mengadakan acara sukan pada sebelah petang, semua pelajar dibenar balik awal sebelum datang semula ke sekolah pada pukul 2.30 petang.
Sepertimana biasa, tugasnya bukan di padang, tetapi mengawal pelajar supaya tiada yang ‘cabut’ balik sebelum acara sukan tersebut tamat.
Melalui bilik disiplin yang terletak di tingkat atas, dia boleh memerhatikan jika ada pelajar ‘cabut’ awal kerana mereka perlu melalui hadapan blok bangunan bilik berkenaan.
Bagi melancarkan tugas, Sam dibantu empat orang pengawas tingkatan enam.
Selesai memberi taklimat tugasan, Sam berpesan kepada salah seorang daripada mereka supaya datang ke bilik disiplin apabila acara sukan selesai.
“Cikgu rasa macam sakit kepala dan nak rehat di bilik disiplin.
“Sebaik acara selesai datang ke bilik disiplin untuk beritahu cikgu,” kata Sam lalu diangguk pelajarnya itu.
Sampai di bilik, Sam terus menelan dua biji panadol dan berbaring di atas sofa lalu terlelap. Entah berapa lama terlena, tiba-tiba dia terasa seperti ada jari-jemari bermain di pipinya.
Dia terjaga dan terkejut melihat keadaan dalam bilik bertukar gelap.
Sayup-sayup terdengar laungan azan dari masjid tidak jauh dari sekolah menandakan telah masuk waktu solat Maghrib.

PELAJAR dibenarkan pulang awal kerana sekolah mengadakan acara sukan pada sebelah petang. –GAMBAR HIASAN
Semasa melangkah ke tempat letak motosikal di hujung blok pejabat, Sam melihat seorang cleaner menyapu sampah di koridor.
“Sudah malam belum balik lagi,” getus Sam bercakap dalam hati.
Sesampai di rumah selepas mandi dan solat, Sam berehat sambil menonton televisyen.
Menjadi rutinnya hanya akan masuk tidur selepas tamat berita tengah malam.
Tiba-tiba telefon bimbit isterinya berbunyi.
Sam mencapai telefon tersebut tetapi hampir terbeliak biji mata apabila melihat namanya terpapar pada skrin telefon itu.
Bertambah hairan kerana telefon bimbitnya tertinggal di bilik disiplin.
Malas melayan perasaan, dia terus mematikan televisyen lalu masuk tidur.
Keesokan harinya semasa di sekolah, Sam memanggil pengawas berkenaan bagi mengetahui tentang kejadian semalam.
“Selepas acara sukan tamat, saya pergi ke bilik disiplin dan nampak cikgu berdiri di depan pintu sambil perhatikan pelajar pulang.
“Saya jerit beritahu cikgu acara dah habis. Cikgu angkat tangan tanda okey, saya pun balik,” kata pengawas itu.
Sam terkejut dengan jawapan pengawas itu kerana dia tertidur agak lama di bilik tersebut.
Bulu romanya mula meremang selepas memikirkan siapa dilihat pelajar itu semalam.
Dia kemudian ke bilik disiplin mencari telefon bimbit dan menemuinya di atas meja.
Selepas itu, Sam mencari cleaner yang dilihatnya semalam.
Bulu romanya sekali lagi berdiri selepas diberitahu oleh wanita itu bahawa dia tidak datang kerja semalam sebab cuti sakit.
Jadi, siapa pula yang dilihatnya semalam?
—————————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.
















