fbpx
DENGAN menggunakan enjin jenis boxer, SUV ini mungkin mampu memberikan kelainan kepada pengguna semasa membuat pemanduan.

Teknologi EyeSight bantu pemanduan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKIRANYA anda sedang mencari sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), apakah ciri yang anda mahu pada SUV itu sebagai kriteria utama?

Adakah jenama, rekaan, fungsi yang ditawarkan atau harga yang menjadi aspek utama pemilihan? Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri.

Baru-baru ini syarikat TC Subaru Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar rasmi jenama itu di Malaysia telah memberi peluang kepada penulis memandu uji salah sebuah unit SUV mereka.

Model dimaksudkan ialah Subaru Forester 2.0i-S EyeSight GT Edition. Unit pandu uji ini merupakan varian paling atas dalam barisan Forester yang dijual di negara ini.

Ada dua ciri paling menarik pada model ini bagi penulis. Pertama ialah teknologi EyeSight yang membantu pemandu dengan fungsi Adaptive Cruise Control, Lane Sway, Departure Warning (pada kelajuan melebihi 60 kilometer sejam) dan Lead Vehicle Start Alert yang akan memberi amaran kepada pemandu tentang pergerakan kenderaan di hadapan.

Teknologi EyeSight turut dilengkapi sistem pencegahan kemalangan seperti Pre-Collision Braking System dan Pre-Collision Throttle Management.

Model Subaru Forester 2.0i-S EyeSight GT Edition memiliki panjang 4,625 milimeter (mm), 1,815mm (lebar) dan 1,730mm (tinggi).

Sistem berkenaan berfungsi menerusi dua kamera pada bahagian sisi kiri dan kanan cermin belakang.

Ciri kedua yang menarik ialah pakej GT Edition yang memberikan imej SUV ini tampak lebih bergaya dengan aksesori yang tersedia.

Antara aksesori dalam pakej tersebut ialah Front Bumper Lip Extension, rim aloi rekaan tersendiri bersaiz 18 inci, Rear Bumper Lip Extension, tempat duduk dengan balutan kulit istimewa, skirting tepi, bumbung spoiler dan sistem Superview Around Recognition Three-Sixty selain sistem paparan dan audio Panasonic.

SUV ini masih menggunakan enjin jenis boxer yang sama seperti varian lain iaitu 2.0 liter petrol dengan transmisi jenis Lineartronic CVT. Sekadar makluman, SUV ini menggunakan pacuan semua roda dipanggil Symmetrical All-Wheel Drive.

Fungsi SI-Drive yang ada pada model ini membolehkan respons enjin dilaraskan sekali gus menjadikan prestasi enjin lebih padu dalam apa jua situasi pemanduan

Gabungan itu mampu memberikan Subaru Forester 2.0i-S EyeSight GT Edition kuasa maksimum 156 PS pada 6,000rpm dan tork maksimum 196Nm pada 4,000rpm.
Model ini menggunakan tangki petrol bersaiz 63 liter.

RUANG dalam di bahagian pemanduannya tampak kemas.

Selain itu, model ini turut dilengkapi ciri Special X-Mode yang membolehkan pacuan roda bertukar antara mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud.

Butang kawalan untuk fungsi ini terletak di bahagian konsol tengah. Pemandu hanya perlu menetapkan mod yang mereka ingin pilih.

Model ini sebenarnya boleh dipandu di laluan off-road yang sederhana kerana ciri-ciri yang ditawarkan tampak sesuai untuk laluan seumpama itu.

Selain EyeSight, model ini turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan Subaru Rear Vehicle Detection, Hazard Avoidance, Auto Vehicle Hold, Steering Responsive Headlight dan Cabin Protecting Layout.

Model ini menerima pengiktirafan keselamatan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP). Model ini menggunakan Subaru Global Platform (SGP) yang merupakan sebahagian daripada teknologi teras Subaru.

BAHAGIAN belakang SUV ini menunjukkan gaya rekaan tersendiri.

Dari sudut praktikaliti, SUV ini menawarkan ruang simpanan barang bersaiz 520 liter yang agak luas.

Memandangkan model ini cuma lima tempat duduk, ruang dalaman model ini juga terasa luas apatah lagi panjang Forester ini ialah 4,625 milimeter (mm), lebar (1,815mm) dan tinggi (1,730mm).

Secara keseluruhannya, bagi penulis, sekiranya anda mahukan sebuah SUV yang berbeza, anda boleh pertimbangkan model ini sebagai pilihan kerana memandu sebuah Subaru pasti ada ‘feel’ berbeza kerana ia menggunakan enjin jenis boxer.

SUV ini boleh penulis katakan hampir sempurna, cuma sejujurnya saya kurang berkenan rekaan rim untuk varian ini. Itu bukan isu sebab mungkin ada yang suka. Minat kita berbeza kan?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN