PETALING JAYA – Bersandarkan kejayaan membangunkan projek pembangunan bercampur di tepi pantai di Pulau Pinang iaitu Seri Tanjung Pinang, pemaju hartanah Eastern & Oriental Berhad (E&O) mahu mencipta lagi namanya dalam industri ini melalui satu lagi konsep hartanah di pulau urban.
Projek melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM17 bilion dalam tempoh 15 tahun itu dibangunkan dengan empat teras utama iaitu pelan induk yang dirancang dengan rapi, kesalinghubungan yang lancar, lestari dan juga gaya hidup yang seimbang.
Menurut Pengerusi Eksekutif Eastern & Oriental Berhad (E&O), Datuk Tee Eng Ho, pihaknya teruja terhadap projek Andaman kerana ia adalah yang paling menarik pada tahun ini dan tumpuan akan diberikan terhadap projek mega tersebut.
“Masyarakat masih mencari hartanah, pandemik telah mengubah idea dan pemilihan pencari hartanah ke arah kediaman yang lebih baik bagi dijadikan ruang pejabat atau ruang belajar.
“Pemaju kini lebih bersikap optimistik tetapi berhati-hati tentang masa depan sektor hartanah kerana terdapat permintaan yang baik daripada golongan muda,” katanya kepada Kosmo! dalam temu bual secara e-mel baru-baru ini.

KOSMO!: Apakah faktor mendorong E&O memajukan projek Andaman menjadi projek pulau urban di Pulau Pinang?
Tee Eng Ho: Projek Andaman telah dilaksanakan susulan kejayaan Kumpulan dalam projek Seri Tanjung Pinang iaitu sebuah pembangunan di tepi pantai dengan pelan induk yang pertama seumpamanya.
Ia dizahirkan daripada konsep gaya hidup di kawasan kepulauan yang terbaik, sejak pelancaran Projek Seri Tanjung Pinang pada tahun 2005.
Projek berprestij itu kini memiliki komuniti penduduk antarabangsa yang terdiri daripada 3,000 kediaman dengan lebih 30 kerakyatan.
Ini merupakan sebuah kawasan perumahan dan pelaburan subbandar yang paling diidamkan di Pulau Pinang.
Berdasarkan kejayaan tersebut, kami berhasrat mahu mencapai kejayaan yang lebih hebat dengan projek Andaman, sekali gus ia bakal mentransformasikan masa depan Pulau Pinang.

Boleh jelaskan mengenai projek tambakan laut Andaman?
Projek ini bakal melibatkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM17 bilion dan ia akan mengambil masa selama 15 tahun.
Ia memiliki keluasan 304 hektar dan boleh diakses dengan mudah dari Gurney Drive dan Seri Tanjung Pinang melalui dua jambatan dengan lokasi yang strategik dan ini memudahkan perjalanan dengan berkereta, berbasikal atau berjalan kaki.
Projek ini dilihat dapat memenuhi permintaan pencari hartanah yang memilih tinggal di kawasan pembangunan terancang dan rapi.
Selain itu, Andaman juga bakal menjadi tapak The Meg, sebuah projek residensi E&O yang julung kalinya ditawarkan kepada pembeli rumah daripada golongan milenial.
Projek Andaman juga tampil dengan ruang tempat tinggal berfungsi tinggi dan versatil untuk mempermudahkan urusan kerja, dan pada masa sama memberikan ruang kediaman yang berasingan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan.
Kami yakin projek Andaman bersesuaian untuk memenuhi trend gaya hidup masa kini iaitu di kala dan pascapandemik.
Secara keseluruhannya, Andaman dapat memenuhi keperluan yang sentiasa berubah daripada orang ramai, bersesuaian untuk golongan muda dan tua.
Ia turut dilengkapi kemudahan hospitaliti dan penjagaan kesihatan, perdagangan dan kebudayaan serta riadah di samping pendidikan yang diintergrasikan ke dalam projek pembangunan tersebut.
Pada masa sekarang, pencari hartanah mementingkan kelestarian dan penjagaan alam sekitar bagi jaminan kehidupan yang lebih sihat, adakah Andaman memiliki ciri-ciri tersebut?
Amalan dan asas kelestarian alam telah diterapkan sebagai teras pembangunan projek Andaman. Setiap bangunan di pulau urban ini telah direka untuk menepati piawaian PensijilanBangunan Hijau (Green Building Certification).
Kumpulan juga telah bekerjasama dengan jurubina dan pembina kami untuk mengurangkan penggunaan bahan-bahan binaan yang mana bahan-bahan yang digunakan dipilih dengan cermat untuk mengurangkan jejak karbon di Andaman serta mempertingkatkan jangka hayat bahan-bahan tersebut.
Seluruh pulau ini telah direka untuk menggabungkan sumber alam semula jadi dengan infrastruktur yang inovatif. Ia juga memiliki kawasan hijau lebih daripada 36 hektar.
Dalam fasa satu sahaja, terdapat lebih daripada 200,000 batang tumbuhan jenis tempatan.
Sistem pengumpulan air hujan juga digunakan untuk tujuan penyelenggaraan dan pengairan landskap. Usaha kitar semula dan pengurangan sisa menjadi keutamaan di Andaman, dengan pelan untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pengkomposan untuk mengurangkan jejak karbon.

Boleh jelaskan mengenai projek The Meg pula?
Projek tersebut akan menggabungkan rekaan kontemporari yang dibina mengikut piawaian E&O yang tinggi dan tersedia pada harga yang mampu milik.
Antara ciri unik The Meg adalah projek gaya hidup moden dengan pemandangan saujana Gurney Wharf, sebuah dermaga awam yang ikonik di Pulau Pinang.
Ia memiliki ruang kediaman yang berfungsi tinggi lengkap dengan peralatan sehinggakan penghuni hanya perlu masuk dengan membawa barangan peribadi.
Segalanya telah disediakan pemaju dengan menampilkan ruang kemudahan berkeluasan 0.8 hektar dan dilengkapi dengan ruang pejabat dan mesyuarat, kolam renang, gimnasium, ruang makan, pentas teater, taman tropika dan taman permainan kanak-kanak.
Kumpulan telah menganjurkan majlis prapelancarannya baru-baru ini dan ia telah mendapat sambutan positif daripada pencari hartanah yang berminat.
The Meg mempunyai dua menara iaitu Tower A memiliki 440 unit kediaman dengan 14 unit kedai, manakala Tower B memiliki 580 unit kediaman.
Oleh kerana The Meg ditawarkan dengan konsep dan harga yang strategik untuk menarik minat penduduk tempatan termasuk dari Lembah Klang, ia tidak terpengaruh oleh sentimen pelabur asing.
Namun begitu, secara amnya bagi kumpulan ini, kami menjangka kenaikan secara perlahan dari segi minat pelabur asing terhadap projek hartanah kami apabila sempadan dibuka kelak dan perjalanan antarabangsa disambung semula seperti tahap pra-Covid. -KOSMO! ONLINE












