PETALING JAYA – Kira-kira 200 buah rumah yang terletak berhampiran lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis lalu terdedah kepada risiko susulan kejadian bencana tersebut.
Pakar Geobencana Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts Ir. Dr. Goh Thian Lai berkata, penempatan yang berada terlalu hampir dengan tebing paling berisiko sekiranya berlaku runtuhan di lokasi berkenaan.
“Cerun dikatakan tidak selamat apabila ada tanda-tanda pergerakan tanah di tebing.
“Rumah yang berada terlalu hampir dengan cerun kurang selamat untuk didiami terutama yang berada betul-betul di bawah kawasan tebing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut beliau, sebagai langkah awal, penduduk berhampitan termasuk yang tinggal di bahagian atas perlu sentiasa memastikan perubahan pada dinding dan lantai rumah serta longkang masing-masing.
Berita berkaitan: Tanah runtuh: 15 rumah rosak, empat tertimbus
Berita berkaitan: Kediaman kami masih selamat
“Langkah itu bagi melihat sekiranya terdapat kerosakan atau keretakan yang selari dengan cerun.
“Sekiranya ada, berkemungkinan besar terdapat pergerakan atau anjakan tanah yang berlaku di bawah rumah menyebabkan kawasan tersebut berisiko tinggi untuk mengalami kesan yang teruk,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah UKM, Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer memberitahu, kawasan berisiko perlu diletakkan pada tahap berjaga-jaga kerana jika berlakunya rekahan pada bahagian puncak, ia boleh merebak ke kediaman yang paling hampir dengan cerun.
“Lokasi kejadian tanah runtuh merupakan kawasan berbukit dengan kepadatan penduduk yang sangat tinggi, malah terdapat kawasan perumahan lain di kawasan bukit yang lebih tinggi.
“Saya difahamkan lokasi kejadian merupakan kawasan bekas kuari. Jadi boleh lihat dengan begitu jelas kawasan cerun batuan curam dan cerun tanah di situ,” katanya.
Beliau mengingatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca serta tanda-tanda fizikal di kawasan berpotensi bahaya dan bencana.
Tambah Nor Shahidah, tinjauannya di lokasi kejadian kelmarin mendapati masih terdapat pergerakan kecil susulan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat nyawa pada Khamis lalu itu.
“Pemerhatian saya di lapangan mendapati bahagian atas cerun masih menunjukkan jatuhan tanah, namun bukan pada skala besar,” katanya.














