AMPANG – Penduduk di Taman Bukit Permai 1 di sini, tidak akan mengosongkan kediaman selagi tiada arahan berpindah dikeluarkan pihak berkuasa meskipun rumah mereka terletak di bahagian atas cerun yang runtuh pada Khamis lalu.
Malah, mereka juga menganggap kawasan kediaman mereka masih selamat untuk diduduki berbanding kawasan perumahan di Taman Bukit Permai 2 yang kini telah dikosongkan ekoran kejadian tanah runtuh itu.
Seorang penduduk Taman Bukit Permai 1, Zulkifli Mohd. Isa, 49, berkata, dia akan terus tinggal di rumahnya yang diduduki sejak 10 tahun lalu bersama isteri serta empat anak.
“Setakat ini, tiada makluman yang mengatakan kediaman kami terjejas dan saya tidak menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa (untuk berpindah).
“Walaupun kejadian tanah runtuh itu lebih kurang 20 hingga 30 meter dari rumah, saya ambil pendekatan positif dengan berdoa agar tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Seorang lagi penduduk, Oi Leng, 66, juga tidak akan mengosongkan kediamannya.
“Tipu kalau saya cakap langsung tak ada rasa takut jika berlaku runtuhan sebab jarak rumah saya dengan cerun yang runtuh itu lebih kurang 20 meter sahaja, namun saya ambil langkah berjaga-jaga sejak kejadian itu berlaku.
“Jika diarah berpindah, saya dan isteri akan akur,” ujarnya.
Sementara itu, bagi penduduk Taman Bukit Permai 2, mereka pula masih trauma dan tidak dapat tidur lena meskipun sudah mengosongkan rumah masing-masing sejak hari kejadian runtuhan tanah pada Khamis lalu.
Pengusaha salon, Chia Nyok Moi, 58, berkata, kejadian itu menyebabkan dia sekeluarga hidup dalam keadaan trauma.
“Setiap kali hujan, saya takut jika berlaku tanah runtuh lagi. Kalau boleh saya tak mahu tinggalkan rumah terlalu lama kerana sudah selesa tinggal di sini bersama suami dan tiga anak.
“Akibat kejadian itu, kami sekeluarga terpaksa menumpang sementara di rumah kawan yang tidak jauh dari sini,” katanya.
Muhammad Syahir Malek, 26, pula berkata, dia bersama ibu bapa dan seorang adik terpaksa menumpang sementara di rumah ibu saudara di Seksyen 23, Shah Alam sehingga arahan selamat menduduki kediaman dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Kami bukan tak mahu tinggal di pusat pemindahan, tetapi kami rasa lebih selesa untuk tinggal di rumah ibu saudara.
“Kejadian runtuhan seumpama ini tak pernah berlaku sejak kami tinggal di sini pada 2003, malah tanda-tanda ketara runtuhan juga tiada, mungkin sebab hujan lebat berpanjangan sejak kebelakangan ini yang menjadi antara punca,” katanya.
Ujarnya, setakat ini dia dan keluarga belum membuat sebarang perancangan kerana masih trauma dengan insiden itu.
Kosmo! semalam melaporkan, bunyi dentuman kuat seperti letupan bom sebanyak dua kali akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, pada Khamis lalu telah mengejutkan penduduk sehingga mereka terpaksa lari keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
Dentuman kuat yang berlaku kira-kira pukul 5 petang itu berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa terbunuh dan cedera dalam kejadian tersebut yang meragut empat nyawa akibat tertimbus di dalam tanah, manakala seorang lagi cedera ringan.
Ekoran kejadian itu, lebih 200 penduduk di 48 buah rumah diarah mengosongkan kediaman sekurang-kurangnya sehingga lima hari. -KOSMO! ONLINE


















