SHAH ALAM – Seorang pemandu lori yang tular memukul anak tirinya berusia lima tahun sebelum ini berjaya diberkas polis, hari ini.
Penangkapan suspek lelaki berusia 30 tahun itu dilakukan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, berdasarkan siasatan punca kejadian disebabkan kanak-kanak itu telah berbohong bahawa bapa tirinya telah memukulnya.
“Ini menyebabkan suspek marah sebelum menampar anak tirinya .
“Tiada kelihatan sebarang kesan kecederaan pada kanak-kanak itu namun mangsa telah dirujuk kepada hospital untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis memburu suspek selepas menerima laporan dibuat ibu mangsa berusia 25 tahun di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.-KOSMO!ONLINE














