SHAH ALAM – Seorang bekas pengawal keselamatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis ketamin, tiga tahun lalu.
Hakim Nurulhuda Nur’Aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ooi Jium Seng, 46, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Nurulhuda berkata, berdasarkan keterangan tertuduh mendakwa bungkusan itu adalah ubat yang perlu disorok bagi mengelak dikenakan cukai.
“Dalam keterangan tertuduh kata telah diugut (oleh seseorang) untuk mencederakan ibu bapanya.
“Berhubung isu (diugut), tertuduh kata telah diarahkan oleh (seseorang) dan rasa tidak selesa. Jadi, itu menunjukkan ada sebab yang mencurigakan iaitu dalam pengetahuan kamu barang berada pada badan,” ujarnya.
Mengikut pertuduhan, Jium Seong, didakwa mengedar dadah disyaki jenis ketamin seberat 1.76 kilogram di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pukul 6.50 pagi, 18 Mei 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Heikal Ismail telah memanggil seramai lima saksi pendakwaan manakala pembelaan diwakili Peguam Sreekant Pillai mengemukakan tertuduh sebagai saksi.
Kes itu pertama kali didakwa pada Oktober 2019. -KOSMO! ONLINE














