PUTRAJAYA – Negara merekodkan jangkitan Covid-19 sebanyak 25,099 kes semalam dengan 100 kes atau 0.40 peratus daripadanya melibatkan kategori tiga, empat dan lima.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, baki sebanyak 24,999 kes atau 99.60 peratus adalah kategori satu dan dua manakala, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 mencecah 3,246,779 kes.
Menurutnya, mengikut pecahan, kategori satu sebanyak 7,763 kes (30.93 peratus), kategori dua sebanyak 17,236 kes (68.67 peratus), kategori tiga sebanyak 56 kes (0.23 peratus), kategori empat sebanyak 23 kes (0.09 peratus) dan kategori lima 21 kes (0.08 peratus).
“Daripada 100 kes kategori tiga, empat dan lima, 25 kes (25 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 53 kes (53 peratus) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 22 kes (22 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Seterusnya, 47 kes (47 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas, 52 kes (52 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (satu peratus) ibu mengandung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, sebanyak 17,749 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kumulatif 2,955,404 kes serta 272 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 164 kes memerlukan bantuan pernafasan. -KOSMO! ONLINE














