LONDON – Gabungan dua ribut taufan Eunice dan Dudley di Britain telah meletakkan negara itu dalam keadaan berjaga-jaga bagi sebarang kemungkinan bencana banjir kilat, lapor akhbar The Sun UK, kelmarin.
Jabatan Meteorologi Britain (MET) telah mengeluarkan amaran bendera merah bermaksud membahayakan nyawa selepas hampir 90 peratus kawasan di negara itu bakal dibadai angin kencang.
Situasi ribut kencang yang sudah bermula semalam dengan kehadiran Ribut Dudley terlebih dahulu dan disusuli Ribut Eunice hari ini (Sabtu) dijangka akan berterusan hingga seminggu.
Menurut MET, ini merupakan insiden ribut paling buruk dalam sejarah negara sejak 30 tahun lalu dan sangat jarang berlaku.
“Ribut Eunice dan Dudley akan menghadirkan angin kencang yang sangat kuat maka, penduduk diminta berhati-hati dengan objek-objek yang diterbangkan bersamanya.
“Bagi kawasan timur situasi akan berangin dengan salji di kawasan yang lebih tinggi manakala di kawasan utara, angin akan bertiup sepanjang pagi,” demikian ciapan jabatan tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengesahkan bahawa pasukan tentera kini dalam mod berjaga-jaga sebaik sahaja mesyuarat jawatankuasa penyelarasan tindakan badan kerajaan bagi krisis negara atau serantau (COBRA) selesai semalam.
Johnson berkata tentera darat bersiap sedia untuk membantu penduduk yang terjejas disebabkan kedua-dua ribut.
“Bagi mereka yang telah terjejas oleh Ribut Dudley dan Eunice, kerajaan akan menawarkan semua sokongan dan bantuan yang ada.
“Saya bersimpati kepada mereka yang berada di lokasi terputus bekalan elektrik. Kerajaan sedang bekerjasama dengan syarikat jana kuasa, pihak berkuasa tempatan untuk memulihkan keadaan dengan kadar segera,” kata Johnson.
Serangan Ribut Dudley malam kelmarin pada kelajuan 160 kilometer sejam (kmh) membuatkan kebanyakan rakyat Britain menyaksikan serpihan pelbagai objek bertaburan di halaman rumah mereka.
Namun ketibaan Ribut Eunice hari ini dijangka lebih dahsyat dengan peramal cuaca mengatakan ia boleh menjadi ribut paling kuat sejak 1990 apabila kelajuan angin mencecah 172 kmh. – Agensi














