PEMBAHARUAN lain yang boleh dilihat pada BMC juga adalah bahagian bampar hadapannya yang berbeza berbanding sebelum ini.

Kawalan bergaya Toyota Camry terbaharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA acara Kuala Lumpur International Motorshow 2018 (KLIMS 18) lalu, syarikat UMW Toyota (UMWT) Motor telah melancarkan generasi kelapan Toyota Camry.

Model itu hanya ditawarkan dengan varian tunggal 2.5V, namun dilengkapkan dengan banyak ciri menarik termasuk menggunakan platform TNGA (Toyota New Global Architecture).

Toyota Camry tersebut menggunakan enjin 2.5 liter dan transmisi enam kelajuan automatik yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 184PS dan tork maksimum 235Nm.

Dua hari lalu, tepat pukul 9 malam, UMWT telah melancarkan pula Toyota Camry baharu yang digelar BMC atau Big Minor Change.

Dari sudut luaran, tiada banyak perubahan kecuali bampar hadapan, rim rekaan baharu dengan saiz 18 inci, lampu belakang yang digelapkan dan beberapa kemasan ringkas.

Berbanding bahagian luar, bahagian dalam mengalami beberapa perubahan kecil, tetapi ciri-ciri itu mampu membuatkan sesiapa yang menaiki kereta sedan segmen D ini terpesona.

Perkara pertama yang penulis perasan adalah Camry ini menggunakan sistem infotainment bersaiz 9 inci dengan kedudukan ‘terapung’ berserta pembesar suara jenama JBL. Kedua, penulis tertarik dengan tempat duduk belakang yang kini boleh dilaras secara elektrik.

TIDAK ada banyak pembaharuan dari segi rekaan belakang bagi BMC berbanding Camry terdahulu, melainkan lampu belakang yang digelapkan tonanya selain kemasan ringkas.

Butang kawalan untuk mengawal tempat duduk itu terletak di perehat tangan di tengah tempat duduk belakang. Selain itu, penumpang belakang juga boleh mengawal sistem infotainment, suhu pendingin hawa, perehat kepala yang direka lebih lebar dan penghadang matahari cermin belakang.

Tempat duduk bahagian belakang juga ditawarkan dengan penghadang matahari di cermin kiri dan kanan. Model ini juga hadir dengan TRI-Zon pendingin hawa. Ini menarik kerana setiap penumpang boleh melaraskan tahap kesejukan pilihan sendiri.

Penumpang belakang di sebelah kiri boleh menikmati ruang kelegaan kaki yang maksimum apabila tempat duduk penumpang hadapan dilaras. Sementara itu, perehat kepala penumpang hadapan pula boleh dilentokkan tanpa dicabut.

Ciri-ciri ini sangat menarik untuk mereka yang menggunakan khidmat pemandu. Ada gaya bos!

Antara perubahan besar pada model BMC ini, ia menggunakan enjin baharu dengan kod A25A-FKS.

Transmisi baharu lapan kelajuan automatik pula turut menawarkan paddle shifter.

REKAAN dalamannya turut melibatkan paparan sistem infotainment bersaiz 9 inci dengan kedudukan terapung.

Kombinasi ini menawarkan kuasa maksimum 209PS pada 6,600rpm dan tork maksimum 253Nm pada 5,000 rpm.

Selain itu, model ini turut hadir dengan mod pemanduan seperti Eco, Normal dan Sport.

Pandu Uji

Baru-baru ini, penulis permotoran telah diberi peluang awal untuk membuat pandu uji ringkas Toyota Camry sebelum ia dilancarkan secara rasmi.

Perjalanan dimulakan di Ibu Pejabat UMWT di Shah Alam, Selangor menghala Gambang, Pahang. Penulis memulakan perjalanan sebagai pemandu dan ketika pulang sebagai penumpang di bahagian belakang.

Kami melalui beberapa jenis jalan raya termasuk lebuh raya, jalan bandar dan jalan kampung yang berliku.

Memandangkan pemanduan dimulakan pada waktu pagi hari bekerja, kami terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas. Mujurlah Toyota Camry ini menawarkan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan ciri-ciri kelajuan penuh berbanding sebelum ini hanya pada kelajuan tinggi. Jadi tidaklah penat sangat.

Sebaik melepasi tol Gombak, penulis cuba tekan pedal sedan ini dan ternyata kuasa yang diberikan mampu membuatkan pemandu tersenyum sendirian, di samping model ini turut hadir dengan paddle shifter untuk mengawal sendiri transmisi lapan kelajuan itu.

Sistem suspensi juga dirasakan lebih baik dan memberikan keyakinan tambahan kepada pemandu ketika melalui jalan selekoh dan berbukit. Secara keseluruhan, untuk aspek pemanduan, penulis dapat rasakan penambahbaikan yang dibuat terutamanya enjin dan transmisi. Rasa lebih respons.

KERETA sedan segmen D ini mempunyai pesona yang tersendiri.

Selepas berehat hampir sejam di Gambang, kami mengambil keputusan memulakan perjalanan pulang ke Shah Alam. Kali ini, penulis duduk di bahagian belakang sebelah kiri dengan tempat duduk penumpang hadapan dilaras ke hadapan. Terasa macam bos pula.

Sebaik duduk, penulis laraskan kerusi maksimum, tidaklah sampai baring, tetapi mampu untuk membuat penulis rasa rehat selepas memandu tadi. Punyalah lapang ruang kelegaan kaki, penulis mampu silang kaki.

Kesimpulannya, Toyota Camry 2.5V baharu ini berjaya memberikan rasa yang lebih baik kepada pemandu atau pemiliknya dengan penambahbaikan nampak kecil, tetapi besar maknanya.

Maksud penulis, jika anda seorang pemandu, keseronokan memandu kereta ini mungkin membuatkan lambat berasa penat. Jika anda seorang pemilik yang menggunakan pemandu pula, tentu berpuas hati kerana selesa duduk di belakang walaupun kereta ini bukan daripada jenama mewah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN