DARIEN, CONNECTICUT – Sebuah pulau persendirian di Darien, Connecticut yang menempatkan sebuah banglo dilengkapi 10 bilik tidur, diiklankan untuk dijual pada harga £74 juta (RM419.4 juta), lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Kediaman terletak di pulau yang dikenali sebagai Great Island itu mempunyai lapan bilik mandi dalam bangunan utamanya. Lokasi banglo tersebut adalah di sebuah kawasan sejauh 1 kilometer di tepi pantai di pulau berkenaan.
Pulau seluas 24.28 hektar itu turut menawarkan bakal pembeli sebuah pantai persendirian, jeti kapal layar dan padang sukan polo.
Estet yang diiklankan di laman web jualan hartanah, TopTenRealEstateDeals itu juga menempatkan beberapa kediaman tambahan termasuk sebuah rumah tamu, rumah ladang, pondok kecil penjaga dan pondok tepi laut.
Pemiliknya juga boleh meletakkan kapal layar bersaiz 31 meter di jeti yang disediakan.
Rumah agam itu dibina pada 1902 dan dibeli pada awal tahun 1900 oleh seorang usahawan serbuk penaik, William Ziegler. Ia kekal menjadi milik keluarga itu sejak mula dibeli. – AGENSI














