fbpx
Ibu tunggal yang cekal akan melakukan pelbagai jenis kerja seperti menebar roti canai untuk menyara diri dan anak-anak. – gambar hiasan

Isu kewangan punca ramai jadi ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu menjadikan masalah rumah tangga semakin meruncing apabila semakin ramai berdepan dengan masalah kewangan hingga berlaku perceraian sekali gus menyumbang kepada kewujudan hampir sejuta ibu tunggal di negara ini.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal, Shiela Tukimin berkata, 90 peratus punca perceraian adalah disebabkan oleh masalah kewangan, manakala baki 10 peratus lagi berlaku akibat kehadiran orang ketiga dan lain-lain.

Katanya, rumah tangga yang aman sebelum ini mula bergolak apabila pasangan berdepan de­ngan masalah kewangan terutama ketika pandemik Covid-19 yang menjadikan kes perceraian semakin meruncing.

“Ia bermula dengan duit k­erana masing-masing tidak mempunyai wang untuk bayar itu dan ini yang menjadi permulaan kepada konflik.

“Covid-19 memberi impak negatif kepada ekonomi hingga menjejaskan sebilangan besar penduduk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed kelmarin yang mendedahkan terdapat seramai 910,091 ibu tunggal di negara ini.

Ia merupakan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang merekodkan peningkatan sebanyak 8.3 peratus ibu tunggal berbanding tahun 2010.

Mengikut rekod, sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan individu beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sejak Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Sementara itu, pengendali Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah, Noor Shidah Yahya turut menyatakan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai wanita menjadi balu.

Katanya, ia mungkin menjadi punca pertambahan jumlah ibu tunggal.

“Kehidupan ibu tunggal sa­ngat mencabar kepada sesetengah wanita terutama dalam kalangan berpendapatan rendah. Mereka perlu sara keluarga dan jika dapat bantuan pun belum tentu cukup,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar sosio­logi, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, status janda bukan penghalang untuk wanita berjaya selepas bercerai hidup atau mati.

“Ramai janda berjaya dan lebih maju apabila berseorangan, namun ia tidak bermakna wanita perlu jadi janda baru boleh berjaya.

“Mereka bernasib baik kerana bertemu dengan saluran yang betul yang menghidangkan ba­nyak peluang kepada sesiapa sahaja untuk berjaya,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, janda tidak sepatutnya berasa rendah diri kerana stigma masyarakat zaman ini terhadap golongan itu sudah berubah.

“Ia bukan lagi mengenai anda tidak tahu jaga suami tetapi masyarakat sudah faham bahawa ada pelbagai sebab wanita jadi janda,” katanya.

Ujar Mohamad Shatar, masyarakat juga perlu memainkan peranan membantu golo­ngan itu terutama ketika pandemik Covid-19 yang menjadi cabaran besar buat mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN