PETALING JAYA – Penyedia platform perkhidmatan penghantaran makanan online diminta menilai semula insentif serta ganjaran yang diberi kepada penghantar makanan yang juga kerap dipanggil sebagai rider supaya ia benar-benar sepadan dengan keringat yang dicurahkan dan pada masa sama, tidak membahayakan keselamatan mereka.
Menurut seorang rider, Muhamad Nazmi Sudin, 31, dia dan rakan sejawat memang selalu mengejar ‘trip’ ketika waktu puncak, misalnya dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang kerana mengejar bonus tambahan yang disediakan.
Dalam tempoh itu, semua akan berlumba-lumba menghantar pesanan.
“Jika penyedia perkhidmatan e-hailing dan restoran boleh memanjangkan tempoh bonus itu, mungkin kami tidak terkejar-kejar hingga melanggar peraturan jalan raya,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan keghairahan penghantar e-hailing berlumba-lumba menghantar makanan bagi mengejar trip hingga sanggup melanggar lampu isyarat merah.
Bagi Muhammad Amirul Zikri Mohd. Zain, 30, sikap individu sendiri merupakan faktor utama rider melanggar lampu isyarat, namun kelewatan menyiapkan pesanan oleh restoran turut menyumbang kepada masalah itu.
Berita berkaitan: Masing-masing berebut kejar trip
Jelasnya, pengusaha restoran tidak sepatutnya terlalu ghairah mengambil pesanan, sebaliknya menerima pada kadar termampu supaya pesanan boleh dihantar mengikut garis masa ditetapkan.
“Jika pesanan masuk terlalu banyak, restoran perlu menghentikannya sementara waktu, siapkan makanan yang dipesan terlebih dahulu dan jangan tamak.
“Sekiranya pesanan siap terlalu lambat, kami perlu bergegas menghantar pesanan supaya pelanggan tidak menunggu terlalu lama. Ketika itu mungkin ada rider yang kurang sabar sehingga melanggar lampu isyarat merah,” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Fariz Huzair, 26, menasihatkan rider sepertinya supaya tidak melanggar lampu isyarat merah kerana boleh membahayakan keselamatan dan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya.
“Kita bekerja untuk menyara keluarga dan jika sesuatu berlaku, bagaimana nasib anak-anak di rumah yang menantikan kepulangan seorang ayah?
“Nasihat saya, mahu kejar trip boleh, tetapi ingatlah orang tersayang dan jangan langgar lampu isyarat merah atau mana-mana peraturan jalan raya yang lain,” katanya.-K! ONLINE














