fbpx
STATISTIK menunjukkan penunggang motosikal terutama penghantar e-hailing paling ramai terlibat dalam kemalangan akibat tindakan melanggar lampu isyarat merah.

‘Masing-masing berebut kejar trip’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Keghairahan untuk berlumba-lumba mengejar ‘trip’ selain sikap tidak sabar menjadi antara faktor ramai penunggang motosikal terutama penghantar perkhidmatan e-hailing sanggup bergadai nyawa dengan sesuka hati melanggar lampu isyarat merah.

Tindakan tersebut yang telah menjadi trend sejak kebelakangan ini bukan hanya membahayakan nyawa penunggang itu sendiri, malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Berdasarkan tinjauan ­Kosmo! di beberapa persimpangan lampu isyarat di sekitar Lembah Klang, hampir 70 peratus daripada 100 penunggang motosikal yang me­langgar lampu isyarat merah di kawasan berkenaan terdiri daripada penghantar e-hailing.

Lebih membimbangkan apabila statistik tahun lalu menunjukkan sebanyak 28,649 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang me­langgar lampu isyarat.

Rekod kematian pula menca­tat seramai 3,493 penunggang motosikal di seluruh negara ­dengan sebahagian besarnya berpunca daripada perbuatan melanggar lampu isyarat.

Mengulas lanjut mengenai situasi itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superin­tendan Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, pelanggaran lampu isyarat kebanyakannya adalah melibatkan penghantar makanan dan barangan.

“Saya tidak nafikan perkara ini, kalau dahulu mungkin kes sebegini dianggap terpencil, namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapati fenomena pembelian makanan dan barangan secara online telah menyebabkan permintaan kepada penghantar makanan dan barangan bertambah.

“Tambahan pula apabila ramai yang kehilangan kerja dan telah beralih kepada bidang penghantaran e-hailing ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tegas beliau, pihaknya tidak mahu menyalahkan syarikat pengendali e-hailing semata-mata, sebaliknya ia berpunca daripada sikap penghantar e-hailing yang tidak mempunyai keseda­ran mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.

“Kita dapati sikap tidak mahu menunggu lama dan tidak ber­disiplin menyebabkan mereka melanggar lampu isyarat.

“Berdasarkan operasi yang dijalankan, kita dapati rata-rata penghantar e-hailing mengaku terpaksa langgar lampu isyarat sebab nak kejar trip. Jika lambat, rating mereka akan jatuh, sekali gus akan menjejaskan periuk nasi mereka,” ujarnya.

Jelas Bakri, perbuatan me­langgar lampu isyarat sudah menjadi trend dalam kalangan penghantar e-hailing sejak ke­belakangan ini.

“Ini dapat dilihat melalui operasi JSPT Bukit Aman yang mana sebanyak 28,649 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat di seluruh negara pada tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, tindakan me­langgar undang-undang bukan hanya merisikokan diri sendiri, malah membahayakan pengguna lain.

“Jangan disebabkan nak kejar trip dan wang semata-mata, ada nyawa yang me­layang.

“Namun begitu, kita akan sentiasa melakukan penguatkuasaan bagi memastikan kesemua penunggang motosikal menghormati lampu isyarat dan juga undang-undang jalan raya yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata, JSPT Bukit Aman secara ke­seluruhannya telah mengeluarkan sejumlah 840,733 saman kepada penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan di seluruh negara pada tahun lalu.

Katanya, penunggang motosikal di Selangor dilihat paling degil dan tidak patuh kepada lampu isyarat apabila merekodkan jumlah tertinggi saman melibatkan 7,860 individu.

“Ini diikuti Pulau Pinang (4,276), Johor (2,989), Perak (2,737), Kuala Lumpur (2,333) dan Melaka (2,226), manakala tujuh negeri merekodkan jumlah di bawah 2,000 individu,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN