BELUM sempat bergelar artis, sebuah kumpulan lelaki baharu dengan nama P1Harmony yang sepatutnya membuat penampilan sulung dalam industri bulan hadapan tiba-tiba menjadi perhatian netizen.
Semuanya berpunca daripada salah seorang anggota kumpulan itu Keeho yang berdepan dengan pelbagai tuduhan. Keeho juga didakwa merupakan pemilik sebuah akaun Twitter yang pernah memuat naik pelbagai kecaman terhadap ramai selebriti popular.
Keeho dipercayai menggunakan akaun Twitter dengan nama @busanwings dan pernah menulis kandungan berbentuk seksual terhadap salah seorang anggota kumpulan BTS, Jimin.
Tidak sekadar itu, pengguna juga mendakwa pemilik akaun berkenaan pernah melakukan gangguan terhadap perempuan berkulit hitam dengan menyimpan gambar mereka dan berkelakuan rasis.
Memberi maklum balas terhadap tuduhan itu, FNC Entertainment menerusi satu kenyataan berkata, Keeho pernah mengendalikan sebuah akaun kelab peminat ketika zaman sekolah dan berkongsi dengan tujuh lagi rakan lain.
“Akaun itu telah dipadam pada 2017. Keeho sepatutnya menyedari bahawa akaun itu digunakan dengan cara yang salah dan perlu melakukan sesuatu.
“Bagaimanapun berkenaan tuduhan rasis sama sekali tidak benar. Sebagai seorang yang membesar di Amerika Utara, dia sangat sensitif dengan isu diskriminasi terhadap orang lain,” ujar agensi.
Biarpun sudah mengeluarkan kenyataan, peminat tetap bimbang sekiranya kontroversi tersebut akan menjejaskan penampilan perdana P1Harmony bulan depan.






