fbpx
SELEPAS diisytiharkan bankrap, baru penyesalan muncul dalam hati Ahmad kerana terlalu ikutkan nafsu dalam berbelanja tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari. –GAMBAR HIASAN

Belanja ikut nafsu, akhirnya muflis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Orang kata, ikut hati, mati, kalau ikut rasa akan binasa. Itulah yang berlaku kepada seorang eksekutif muda di sebuah bank yang berbelanja melebihi pendapatan.

Disebabkan ingin kelihatan mewah dan bergaya macam orang kaya, dia menggunakan kad kredit sesuka hati tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari.

Selain itu, dia juga membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk diletakkan sebagai deposit bagi mendapatkan kereta idamannya.

Akhirnya, kesemua itu memakan diri sendiri selepas dia gagal melunaskan hutang dan mahkamah telah mengisytiharkannya bankrap.
———————————————————————————————————————————–
SELEPAS berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda dari sebuah universiti di Johor, pemuda berusia 24 tahun itu cuba mendapatkan pekerjaan bersesuaian di Lembah Klang.

Hampir tiga bulan menganggur, Ahmad (bukan nama sebenar) akhirnya berjaya mendapat pekerjaan sebagai eksekutif muda di sebuah bank terkemuka.

Dengan gaji permulaan sekitar RM2,500 sebulan, Ahmad nekad berhijrah dari kampung halamannya di Kepala Batas, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bagi memulakan kehidupan baharu.

Pada bulan pertama bekerja, Ahmad menumpang di rumah flat rakan sekampung serta menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

Selepas berjaya mendapat gaji pertama, Ahmad berasakan dia ingin menyewa bilik lebih besar dan selesa di sebuah kondominium berhampiran tempat kerjanya.

Pada bulan berikutnya, lelaki bertubuh kurus itu melabur sebahagian besar gajinya untuk membeli telefon baharu yang lebih canggih dan terkini.

“Selepas bekerja dan ada duit, saya pun ada keinginan mendapatkan benda-benda yang diidamkan selama ini. Saya ingin tinggal di kondominium yang lengkap dengan fasiliti.

“Saya tidak kisah terpaksa bayar lebih berbanding tinggal di flat. Saya turut tukar telefon baharu yang lebih canggih,” ceritanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Selepas beberapa bulan bekerja, Ahmad berasakan sudah tiba masanya dia memiliki sebuah kereta baharu yang bersesuaian dengan jawatan sebagai eksekutif.

Dia memaklumkan, keinginannya cukup kuat untuk memiliki kereta jenis Honda Civic baharu yang dianggarkan berharga lebih RM100,000.

KERANA ingin hidup mewah, Ahmad menggunakan kad kredit untuk membeli apa sahaja barang yang terlintas di fikirannya.–GAMBAR HIASAN

“Malangnya, saya tidak ada wang untuk diletakkan deposit sebanyak 10 peratus. Kalau ikutkan gaji saya pun tidak lepas untuk buat pinjaman kereta itu.

“Disebabkan bekerja di bank, saya buat pinjaman peribadi untuk membayar deposit. Saya juga menggunakan orang dalam di bank untuk meluluskan pinjaman kereta berkenaan.

“Akhirnya, saya berjaya memiliki kereta idaman dengan bayaran bulanan RM1,200,” terangnya.

Meskipun duit gaji Ahmad hanya tinggal cukup makan sahaja setiap bulan, namun nafsunya untuk berbelanja tidak pernah berhenti.

Dia memaklumkan, keinginannya sangat tinggi untuk membeli pakaian berjenama, selain bercuti keluar negara bersama rakan-rakan sekerja.

“Ketika itu, tengok kawan-kawan pergi bercuti dan beli baju baharu, saya pun teringin. Malangnya, gaji saya tidak cukup untuk berbuat demikian.

“Jadi, saya nekad memohon kad kredit.Apabila ada kad kredit di tangan, saya berbelanja sesuka hati. Kalau rasa ada barang yang berkenan di hati, saya terus beli tanpa berfikir panjang,” ujarnya.

Sikap boros Ahmad merangkap diri sendiri apabila perbelanjaannya setiap bulan melebihi gaji sehingga membuatnya hidupnya haru-biru selepas diburu pihak bank.

Disebabkan itu, dia terpaksa menebal muka meminjam wang daripada ahli keluarga dan rakan-rakan bagi melunaskan hutang kad kredit dan meneruskan kelangsungan hidup.

“Dua bulan juga saya bertahan dengan meminjam duit. Masuk bulan berikutnya, tiada lagi yang mahu beri pinjam kepada saya kerana hutang lama tidak dibayar.

BOSAN tinggal di flat, Ahmad mengambil keputusan untuk menyewa bilik di kondominium.

“Disebabkan terlalu banyak hutang, mahkamah mengisytiharkan saya bankrap. Kereta saya telah ditarik oleh bank. Kad kredit pun telah disekat,” ujarnya.

Memandangkan Ahmad bekerja dalam sektor perbankan, dia telah diarahkan untuk berhenti kerana terdapat terma yang mengatakan pekerja bank tidak boleh diistiharkan muflis.

Rentetan itu, Ahmad terpaksa pulang ke kampung dan menumpang hidup dengan ibu bapanya selepas hilang segalanya di Kuala Lumpur.

“Saya betul-betul menyesal kerana terlalu ikutkan nafsu untuk hidup senang sehingga sanggup berhutang banyak.

“Saya telah hilang semuanya disebabkan sikap sendiri.

“Kini, saya membuka sebuah kedai makan di kampung bagi meneruskan hidup serta membayar hutang-hutang sebelum ini kepada pihak bank,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN