PETALING JAYA – Pengguna media sosial di seluruh dunia termasuk di Malaysia kini berdepan ancaman apabila akaun Facebook mereka dengan mudah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.
Tidak hanya bagi tujuan penipuan atau scammer, pihak terlibat juga semakin berani apabila menggunakan Facebook orang ramai untuk mempromosikan laman web lucah tanpa pengetahuan pemilik akaun.
Trend mempromosikan laman web lucah melalui Facebook ini dikesan sejak awal tahun ini apabila ramai pengguna mendakwa mereka telah menjadi mangsa sehingga mengaibkan mereka.
Berikutan itu, ramai pengguna Facebook mula mengambil inisiatif dengan membuat penafian secara terbuka di akaun masing-masing kerana bimbang situasi itu boleh mendatangkan fitnah kepada diri dan keluarga.
Salah seorang mangsa yang bekerja sebagai juruelektrik, Hairul Faizal Md. Salleh, 37, berkata, dia berdepan perkara yang memalukan itu pada 18 Januari lalu selepas dimaklumkan oleh rakannya.
“Saya langsung tidak tahu tentang perkara itu sehingga ada beberapa rakan menegur kerana akaun Facebook saya mempelawa orang ramai untuk melayari laman web tidak senonoh.
“Selain itu, akaun Facebook saya turut ‘ditag’ dengan laman web lucah yang dipromosikan guna akaun Facebook orang lain.
“Kejadian ini bukan menimpa saya seorang, ramai lagi jadi mangsa termasuk beberapa kenalan yang bekerja sebagai guru,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Hairul Faizal, kejadian itu juga telah mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan pengguna Facebook terutama mereka yang kurang arif mengenai jenayah siber.
“Siapa yang tidak terkesan apabila akaun Facebook kita dijadikan tempat untuk mempromosikan laman web lucah.
“Mesti ramai yang pelik dan pandang sinis sehingga mencetuskan salah faham,” tambahnya.
Sementara itu, seorang pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Segamat, Johor yang mahu dikenali sebagai Azman, 42, berkata, dia telah menerima dua ‘tag’ rakaman video lucah oleh rakan Facebook sejak minggu lalu.
“Saya yakin perkongsian video lucah itu bukan daripada rakan saya yang merupakan seorang ustaz. Dia bukannya aktif menggunakan Facebook.
“Mungkin ini perbuatan penggodam. Sekiranya tuan, puan ada menerima tag video dari saya, itu bukan dari saya. Semoga Allah menjaga kita semua,” katanya.
Pemilik akaun Facebook Iza Hafiza pula dalam satu hantaran berkata, dia turut menjadi mangsa kejadian tersebut dan meminta orang ramai tidak salah faham mengenai dirinya.
“Jika ada Facebook saya ‘tertag’ Facebook video tidak senonoh, tolong jangan salah faham, itu bukan dari saya. Ramai yang telah jadi mangsa,” katanya.














