KOTA BHARU – Seorang peniaga kedai emas di Pasar Siti Khadijah menjangkakan pelanggan di kebanyakan kedai emas akan berkurangan jika harga emas naik sehingga RM300 segram.
Mohd. Mustaqim Mustofa, 27, berkata, bagaimanapun, kenaikan itu belum sahih, malah kebanyakan peniaga di sini hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
Menurutnya, harga pasaran emas ketika ini tidak menentu apabila kadangkala naik dan turun mengikut keadaan ekonomi semasa.
“Sifirnya mudah, apabila harga tinggi, tidak ramai yang akan membeli emas. Pelanggan akan menunggu harga emas jatuh sebelum membeli barang kemas dan mereka akan menjualnya apabila harganya kembali naik.
“Bagi peniaga emas, kenaikan harga emas adalah situasi yang kami tidak mahu lalui kerana pastinya mengalami kekurangan jualan,” katanya.
Menurutnya, harga semasa emas baru-baru ini adalah RM234.92 segram dan angka itu juga sudah mahal bagi pelanggan.
Di Kuala Terengganu, sambutan terhadap barangan kemas di Terengganu agak berkurangan pada musim tengkujuh ini terutama di kawasan yang terjejas banjir baru-baru ini.
Seorang peniaga emas, Zakaria Yusof berkata, situasi itu adalah normal memandangkan kebanyakan penduduk akan mengurangkan perbelanjaan sebagai persiapan menghadapi bencana dan pasca banjir.
“Kebanyakan mangsa bencana kurang wang lebihan kerana perlu membeli perkakas yang rosak akibat banjir.
“Pelanggan dari luar juga tidak ramai kerana mereka biasanya kurang mengunjungi Terengganu pada musim ini.
“Lagipun ramai penduduk di Selangor juga terkesan dengan banjir baru-baru ini,” katanya kepada Kosmo! di Pasar Besar Kedai Payang.
Zakaria yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu memberitahu, kekurangan permintaan itu menyebabkan harga pasaran emas di Terengganu ketika ini agak stabil iaitu RM231 segram. -K! ONLINE














