SHAH ALAM – Semua pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di negeri ini ditutup sepenuhnya seminit sebelum menjelang tahun baharu malam tadi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penutupan PPS itu dilakukan pada pukul 11.59 malam dengan semua mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Amirudin turut menzahirkan penghargaan kepada petugas, sukarelawan, agensi kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat awam yang banyak membantu.
“Terima kasih atas budi dan jasa membantu mangsa banjir.
“Kita akan bangkit daripada episod duka ini untuk membangunkan semula negeri yang kita cintai,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Banjir yang melanda beberapa daerah di Selangor seperti Shah Alam, Klang, Hulu Langat sebelum ini telah mengakibatkan lebih 160 PPS dibuka membabitkan lebih 30,000 mangsa banjir kesemuanya. -K!ONLINE














