BUAT julung-julung kalinya, peminat industri penerbangan di Lembah Klang boleh melihat secara dekat deretan pesawat menerusi Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 yang diadakan di Pusat Penerbangan Serantau, Subang Skypark, Seksyen U5, Shah Alam pada 25 hingga 27 November lalu.
Malah, berita baik buat pemain industri ini apabila Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan akan menjadikannya sebagai program utama dalam kalendar aktiviti di negeri itu.
Ia sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang mempromosikan industri aeroangkasa sebagai tarikan baharu bukan sahaja melibatkan pemain industri itu sendiri malah sebagai salah satu program tetap dalam kalendar pelancongan untuk dikunjungi masyarakat.
Pameran Penerbangan Selangor (SAS) itu berbeza dengan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi atau lebih dikenali sebagai LIMA kerana LIMA merupakan pameran udara dan maritim berkaitan penerbangan dan aset pertahanan.Sebaliknya, SAS menumpukan kepada penerbangan pesawat komersial penumpang dan peribadi.
Amirudin dalam ucapan perasmiannya berkata, kerajaan negeri optimis mengembangkan industri penerbangan di negeri ini dalam usaha mengekalkan pertumbuhan industri perniagaan dan penerbangan am.

Bagi tujuan itu katanya, Selangor sentiasa berhubung dengan pihak berkepentingan lain dalam kerajaan dan entiti swasta berhubung subjek pembangunan infrastruktur lapangan terbang.
“Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030 menangani cabaran ini dengan agak agresif dan ketara.
“Selangor mempunyai Lapangan Terbang Subang dan kami berazam membantu untuk membuka potensi lapangan terbang ini bagi menyokong dan mengekalkan pertumbuhan dalam industri perniagaan dan penerbangan am serta aktiviti penerbangan lain,” katanya baru-baru ini.
SAS 2021 mendapat penyertaan 43 syarikat berkaitan perkhidmatan penerbangan, penyelenggaraan dan logistik termasuk dari Brazil, Perancis, Switzerland, Turki dan Amerika Syarikat (AS).
Antara syarikat antarabangsa turut serta sebagai pempamer ialah syarikat pengeluaran peralatan tulen (OEM) Airbus, Dassault Aviation, Embraer SA dan Turkish Aerospace Industries, manakala syarikat tempatan antaranya Systematic Aviation Services, Galaxy Aerospaces, Aerodyne dan Pen Aviation.
Antara pesawat dipamerkan pula ialah Embraer, Gokbey, Piaggio Avanti, Beechcraft King Air, Cessna 206 dan Bell 407GX.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri, Datuk Teng Chang Khim berkongsi kejayaan dicapai pada edisi pertama SAS 2021 itu apabila 12 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai antara pemain industri tempatan dan antarabangsa dengan nilai tertinggi RM100 juta dalam program itu.

Antara yang terlibat ialah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Universiti Selangor, SIRIM Berhad dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Perjanjian itu meliputi kerjasama pembangunan tenaga kerja vokasional, pembangunan Pusat Kecemerlangan Dron Selangor, hab latihan simulator dan pusat MRO (penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih).
“Kerjasama antara MAHB dengan ExecuJet Aviation Group dengan pelaburan RM100 juta membuka peluang baik ke peringkat antarabangsa dan menjadikan Selangor sebagai pintu gerbang Asia,” ujarnya.
Tambah Chang Khim, SAS edisi kedua yang dijadualkan pada September 2022 akan dilangsungkan dengan skala lebih besar membabitkan lebih 10 negara antaranya Sepanyol, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, China, Rusia, Turki, Switzerland, AS, Perancis dan Brazil.
Sementara itu, Timbalan Presiden Sektor Awam Aerodyne Group (Aerodyne), Izham Zakaria berkata, sebagai pemain industri dron, syarikat yang sudah mempunyai 35 pejabat di seluruh dunia seperti di Washington, AS dan Santiago, Chile itu melihat penyertaan dalam SAS 2021 sebagai satu peluang menembusi pasaran lebih besar.

Kongsinya, sepanjang terlibat dengan pameran tersebut, pihaknya turut dihampiri beberapa pemain industri aeroangkasa dari Zimbabwe dan Ukraine lantas melihat ia sebagai satu peluang untuk meneroka pasaran baharu.
“Aerodyne bekerja rapat dengan kerajaan negeri dan sebagai sebahagian daripada komuniti industri aeroangkasa, kami melihat peluang terlibat dalam pameran ini sebagai salah satu cara untuk berhubung dengan pemain industri dalam bidang ini.
“Walaupun dron dianggap sebagai new chapter tetapi dalam industri aeroangkasa kita harap ia mampu untuk merangsang ekonomi tempatan terutama dalam pemindahan maklumat digital dan sebagainya,” katanya.
Bagi Pengarah Teknikal Global Turbine Asia, Mahathir Azmi pula, penglibatan syarikat terbabit yang merupakan pusat penyelenggaraan enjin Safran yang diiktiraf di Malaysia dalam ekspo SAS 2021 adalah bagi berkongsi pengetahuan dengan pemain industri terutama syarikat pemilik helikopter menggunakan enjin keluaran Safran Group berpangkalan di Perancis.
Ujarnya, pada masa ini syarikatnya banyak terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan enjin Safran bagi agensi kerajaan dari sektor pertahanan dan keselamatan selain mencari pelanggan baharu terdiri daripada syarikat pengendali pesawat yang menyediakan perkhidmatan sewa helikopter dan sebagainya.“Ada juga beberapa pelanggan yang datang meminta khidmat nasihat dan kami beritahu mereka mengenai kepakaran dari segi sokongan teknikal yang boleh ditawarkan,” ujarnya.
















