SEMPENA cuti kelepasan am tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 3 Disember lalu selepas pasukan bola sepak KL City menjuarai Piala Malaysia 2021, Mohd. Hanafi Kamit, 34, merancang untuk bercuti bersama keluarganya.
Tanpa berfikir panjang, dia yang merupakan pekerja sektor swasta dan bekerja di Kuala Lumpur memilih Melaka sebagai destinasi percutian memandangkan lokasinya terletak tidak terlalu jauh dari ibu kota.
“Setiap kali ingin bercuti bersama keluarga, memang saya akan menyediakan peruntukan kewangan yang lebih bagi membolehkan kami menikmati keseronokan dengan harapan dapat melupakan seketika kesibukan bekerja.
“Antara perkara yang akan kami nikmati sudah tentulah makanan yang enak-enak terutama yang popular di tempat tersebut, selain yang sukar untuk diperoleh di Kuala Lumpur.
“Jika sebelum ini saya akan terus memesan makanan yang diingini tanpa banyak soal, tetapi kali ini saya ambil pendekatan untuk lebih berhati-hati dengan melihat secara teliti menu dan harga makanan tertera.
“Bukanlah hendak berkira-kira soal makan minum terutama sewaktu bercuti bersama kelurga, tetapi saya bimbang kalau-kalau isu ‘ikan siakap kayangan Pulau Langkawi’ terjadi kepada diri saya,” katanya yang tinggal di Seri Kembangan, Selangor kepada K2.
Tambahnya, kebimbangan semakin tinggi apabila sejak akhir-akhir ini isu harga makanan tidak munasabah dilihat semakin menjadi-jadi dan mula tular di media sosial, termasuklah isu harga bagi hidangan sayur kailan ikan masin dan sekeping roti canai.

Awal November lalu, seorang pelancong tempatan, Mohd. Faris Zulkarnain memuat naik perkongsian di laman sosial Facebook miliknya mengenai pengalamannya yang terpaksa membayar RM1,196.80 bagi hidangan seekor ikan siakap yang dianggarkan seberat 7.48 kilogram ketika bercuti di Pulau Langkawi, Kedah.
Bagi keseluruhan hidangan yang dinikmati bersama tujuh rakannya itu di sebuah restoran di situ, dia dikenakan bayaran sebanyak RM1,852.50 termasuk hidangan ikan tersebut.
Selain itu, Persatuan Pengguna Negeri Kedah turut mendedahkan, ada menerima aduan daripada orang ramai berhubung sekeping roti canai kosong yang dijual pada harga RM4 di sebuah kedai makan di pulau berkenaan yang dianggap tidak munasabah.
Belum pun reda isu ‘ikan siakap kayangan’, tular pula isu harga hidangan sayur kalian ikan masin yang turut dianggap tidak masuk akal apabila seorang pelanggan di sebuah restoran di Pulau Pinang dikenakan bayaran RM18 bagi hidangan bersaiz kecil.
Malah, negeri yang mendapat jolokan Pulau Mutiara itu sekali lagi menjadi tumpuan apabila timbul pula isu harga sotong Apollo yang mencecah RM100 bagi dua ekor yang dijual di sebuah restoran nasi kandar di negeri itu yang turut tular di media sosial.
Bagi seorang peniaga makanan, Nur Syazwani Abd. Halim, 37, isu harga makanan yang kerap tular pada akhir-akhir ini dianggap sebagai bermusim apabila ia menjadi ikutan pelanggan yang seakan-akan seronok dengan budaya memuat naik dan menyebarkan sesuatu isu di media sosial.

Katanya, walaupun dia bersetuju bahawa harga makanan yang ditularkan di media sosial itu sememangnya tidak masuk akal, namun tindakan menyebarkan perkara itu di internet bukanlah cara yang betul untuk menyelesaikan masalah berkaitan harga makanan.
“Sebagai seorang pemilik restoran, sudah tentulah saya menginginkan keuntungan dalam urus niaga saya setiap hari.
“Tetapi saya tidak pernah terfikir untuk mengenakan harga yang tidak masuk akal kepada pelanggan dan jika ada berlaku kenaikan harga bahan mentah sekalipun, saya akan cuba mengekalkan harga makanan agar tidak membebankan pelanggan.
“Jika kenaikan itu terlalu tinggi, saya ada beberapa pilihan iaitu sama ada mengecilkan saiz makanan agar harga dapat dikekalkan atau menaikkan sedikit harga dan memaklumkan kepada pelanggan tentangnya,” katanya yang merupakan pemilik restoran DJJ Kopitiam yang kini popular di Kota Bharu, Kelantan.
Bercakap mengenai isu harga makanan melampau yang tular itu, katanya, dia tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi sebagai seorang peniaga katanya, mereka harus bertimbang rasa dalam meletakkan sebarang harga agar tidak terlalu membebankan pelanggan.
Mengulas lanjut mengenai isu ini, Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang dikesan dengan sengaja menaikkan harga barangan dan makanan tanpa alasan kukuh.
Jelasnya, pihaknya akan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 iaitu Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 bagi sabitkan peniaga yang melakukan kesalahan tersebut di mahkamah.
“Dalam soal kepentingan pengguna, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang dikesan sengaja melakukan kesalahan tersebut.
“Oleh itu, kita menasihatkan peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan jangan sewenang-wenangnya meletakkan sebarang harga, lebih-lebih lagi harga tidak masuk akal sehingga membebankan pengguna,” katanya.

Jelas beliau, jika disabit kesalahan, peniaga yang ingkar dengan peraturan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000, manakala jika bukan pertubuhan atau perbadanan boleh didenda tidak lebih RM50,000.
Bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 pula, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa hanya akan melakukan siasatan setelah sesuatu isu termasuk berkaitan harga makanan tular di media sosial.
Sebaliknya kata beliau, tindakan menularkan isu seperti itu bukanlah tindakan yang bijak dan ia mungkin dilakukan oleh individu yang berniat untuk mensensasikan sesuatu perkara.
Justeru, beliau menasihatkan pangguna agar menggunakan saluran yang betul untuk membuat aduan berkaitan salah laku peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga makanan dan barangan sesuka hati tanpa alasan munasabah.
“Jika ada peniaga yang tidak beretika dan dengan sengaja naikkan harga barangan sesuka hati sehingga ke tahap tidak munasabah, laporlah kepada KPDNHEP dengan segera dan bukannya ambil tindakan menularkannya di media sosial.
“Kemukakan segala dokumen dan bukti yang berkaitan agar siasatan yang adil dan terperinci dapat dijalankan.
“Sekiranya terbukti bersalah, peniaga tersebut akan dikenakan tindakan tegas menerusi undang-undang yang sedia ada.
“Tindakan menularkan sesuatu isu sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa, malah mungkin akan mengganggu siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, mengulas berkaitan isu beberapa harga makanan malampau yang tular di media sosial baru-baru ini, beliau berkata, KPDNHEP telahpun melancarkan Ops Menu sejak 6 November lalu sebagai langkah mengekang isu harga makanan melampau yang dikenakan oleh peniaga sehingga membebankan pelanggan mereka.
















