Hatinya mudah tersentuh tatkala menyaksikan kes penderaan haiwan. Bagi Atyqah Noel, yang menghiasi kolum Pesona Ahad minggu ini, perbuatan mendera atau menyakitkan haiwan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan disifatkan teruk.
Selain penyayang dengan haiwan, anak bongsu daripada lima beradik itu turut aktif bersukan terutamanya bola jaring yang disertai sejak berusia 10 tahun.
Gadis berusia 23 tahun itu kembali aktif dalam dunia peragaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Ikuti temu bual bersama gadis yang mesra disapa Noel bercerita serba sedikit mengenai dirinya dan perkara yang diminatinya buat pembaca Kosmo! Ahad.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan mengenai latar belakang Noel?
Noel: Saya merupakan pelajar semester akhir jurusan seni reka grafik digital di Universiti Selangor. Selain itu, saya turut menyertai peragaan secara separuh masa untuk mencari duit poket.
Bagaimana bermulanya penglibatan dalam peragaan?
Semuanya bermula semasa saya berusia 19 tahun, pada waktu itu sekadar suka-suka. Sehingga kini saya masih aktif dalam pertunjukan fesyen selain model bagi produk penjagaan kulit, solekan dan baju raya.
Mengapa memilih bidang peragaan?
Saya suka bergambar dan beraksi di hadapan kamera. Selain itu, saya menyukai perkara berkaitan seni. Itu salah satu sebab saya melanjutkan pelajaran dalam seni reka grafik.
Adakah pekerjaan separuh masa sekarang merupakan kerjaya impian Noel?
Ya. Selepas tamat belajar saya berhasrat untuk terus aktif dalam peragaan sepenuh masa dan mungkin bekerja separuh masa sebagai pereka grafik.

Apakah cabaran menguruskan kerja di musim pandemik?
Saya akui sejak PKP dilaksanakan fasa demi fasa, tawaran kerja dalam bidang peragaan berkurangan dan sudah tentu pendapatan juga terjejas. Selepas ini saya perlu bijak merencana dengan merebut peluang selagi ada.
Perkara pertama dilakukan selepas dibenar merentas negeri?
Bercuti bersama keluarga tersayang dan merebut tawaran dalam bidang peragaan. Saya berharap agar Covid-19 terus lenyap kerana ramai yang terjejas di musim pandemik ini.
Apakah aktiviti masa lapang Noel?
Saya meminati solekan dan meluangkan masa belajar tip solekan di YouTube.

Pandangan Noel mengenai mereka yang menolak vaksin?
Tidak mengapa sekiranya berlainan pendapat, itu hak mereka. Jika anda menolak vaksin simpan sahaja untuk diri sendiri. Jangan sebarkan berita palsu dan hasut orang lain.
Perkara yang meruntun hati Noel?
Saya tidak boleh melihat haiwan didera sama ada di depan mata atau foto tular di media sosial. Saya mudah bersentuh, mereka (pendera) ini tidak berhati perut dan kejam.
Tips untuk mereka yang mahu menjadi instafamous?
Jadi diri sendiri, jangan dengar kata-kata negatif yang dilempar oleh orang lain. Paling penting adalah sentiasa aktif di media sosial dengan pengisian kandungan yang berkualiti.














