SEMUA orang mendambakan hubungan perkahwinan disulami dengan kebahagiaan sampai ke hujung nyawa, namun setiap yang kita rancang tidak semua akan menjadi kenyataan.
Bahtera rumah tangga yang dibina selalu dilanda badai yang deras dan akhirnya tidak dapat menahan asakan berpanjangan dan karam di lautan tidak bertepi.
Itu yang cuba dikupas oleh Ketua Hakim Syarie yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Setia Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menerusi kolum Wawancara minggu ini.
Beliau membicarakan antara lain soal faktor utama yang menyebabkan perceraian, kes-kes bekas suami yang culas membayar nafkah anak-anak, selain sebab-sebab remeh atau tidak masuk akal yang menyebabkan sesebuah mahligai perkahwinan itu runtuh.
——————————————————————————————————————————————
DALAM setiap hubungan yang terjalin antara dua hati yang penuh dengan kasih dan sayang pasti diakhiri dengan perkahwinan.
Malah dalam Islam sendiri, perkahwinan merupakan satu perkara yang amat dituntut dan ia merupakan satu fitrah yang akan dilalui oleh semua manusia.
Namun begitu, setiap pelayaran bahtera perkahwinan tidak terlepas daripada dibadai ujian yang akhirnya membawa kepada perpisahan.
Bagi membincangkan isu berkaitan perceraian, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Ketua Hakim Syarie yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Setia Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
KOSMO! AHAD: Apakah faktor yang menjadi penyebab utama perceraian pasangan suami isteri di negara ini pada masa lalu dan sekarang?
DR. MOHD NA’IM: Berdasarkan pemerhatian kita, faktor-faktor yang menjadi penyebab utama kepada masalah ini konsisten dari dahulu hingga sekarang.
Kita dapati, ada lima faktor utama yang membawa kepada perceraian iaitu tidak ada persefahaman, masalah kewangan, pengabaian tanggungjawab nafkah, hubungan pihak ketiga dan tekanan emosi.
Ketika pandemik Covid-19 ini, kita dapati ramai pasangan berpisah kerana tekanan emosi dalam pelbagai aspek.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan juga menyebabkan kebanyakan daripada kita duduk di rumah untuk satu tempoh lama dan kadangkala ia boleh menimbulkan pertengkaran kerana hal-hal kecil dan boleh memberi kesan kepada tekanan emosi hingga ada yang berpisah kerana hal-hal tidak sepatutnya.
Selain itu, pandemik juga menyebabkan ada yang kehilangan pekerjaan dan memberi kesan kepada keupayaan kewangan kepada ketua keluarga atau suami yang menjadi penyedia utama nafkah.
Pada pandangan Datuk, adakah tindakan sekatan akaun bank kepada suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah yang dicadangkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dapat menakutkan mereka yang terlibat untuk menunaikan tanggungjawab itu demi kebaikan anak-anak?
Untuk hal ini, kita menggunakan pelbagai kaedah dalam menyelesaikan masalah keculasan pemberian nafkah oleh bekas suami kepada isteri dan anak-anak.
Tindakan hiwalah atau garnisi merupakan salah satu ‘senjata’ baharu dalam menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah setelah pindaan dibuat terhadap tiga akta melibatkan perkhidmatan kewangan.
Prosiding hiwalah dalam bahasa mudahnya adalah membekukan akaun seseorang defendan.
Sebenarnya, dari segi perundangan, ‘garnishee’ bermaksud seseorang yang bukan penghutang penghakiman dan berada dalam bidang kuasa mahkamah boleh diperintahkan untuk membayar kepada pemiutang penghakiman apa jua wang yang ada dalam simpanannya bagi pihak penghutang penghakiman.
Ringkasnya, sebagai contoh, kita boleh mohon kepada mahkamah untuk membekukan akaun defendan dan mengarahkan pihak bank untuk membayar wang yang ada dalam akaun itu kepada kita bagi menyelesaikan hutang penghakiman.
Seandainya plaintif mengetahui defendan mempunyai akaun dengan sesuatu institusi perbankan, maka plaintif boleh memohon kepada mahkamah untuk memerintahkan institusi itu membayar wang yang ada dalam akaun defendan kepada plaintif.
Ia sebagai penyelesaian kepada tunggakan nafkah tanpa mengira sama ada jumlah wang itu mencukupi untuk menghabiskan jumlah hutang penghakiman atau tidak.
Dengan cara itu, kita berharap bukan sahaja dapat menakutkan suami atau bekas suami yang bergelar bapa, tetapi dapat mengubah mereka untuk menjadi pemimpin lebih bertanggungjawab dalam menunaikan nafkah kepada ahli keluarga.
Berapa ramai bekas suami yang culas untuk membuat bayaran nafkah tersebut sehingga kini dan apa alasan yang mereka berikan untuk tidak berbuat demikian?
Melalui Badan Sokongan Keluarga (BSK) yang ditubuhkan oleh JKSM pada 2008, kami menerima sebanyak 4,749 kes tunggakan nafkah anak termasuk nafkah isteri dan iddah yang didaftarkan untuk tempoh 2017 hingga 2020.
Antara alasan yang diberikan oleh penghutang penghakiman adalah tiada pekerjaan, hilang punca pendapatan, mempunyai tanggungan keluarga baharu dan tidak berkemampuan.
Sebenarnya, dalam hal ini pada peringkat pertama, mahkamah akan membuat penilaian dan keluarkan perintah nafkah berdasarkan kemampuan bekas suami dan keperluan anak-anak.
Namun, apabila suami tidak membayarnya setiap bulan seperti ditetapkan, ia akan menjadi tunggakan yang banyak dan akhirnya mereka memberi alasan tidak mampu.
Sebenarnya jika perintah nafkah itu diselesaikan setiap bulan secara konsisten, mereka tidak mempunyai masalah untuk membayarnya.
Selain itu, isteri juga harus memainkan peranan apabila berlaku pengabaian perintah mahkamah dengan terus membuat laporan.
Jangan biarkan perintah nafkah itu tertunggak untuk satu tempoh lama.
Dalam hal ini, jika bekas suami hilang pekerjaan atau sebagainya sehingga memberi kesan kepada kewangan, mereka boleh failkan kepada mahkamah untuk perintah perubahan bagi membolehkan penilaian semula dilakukan.

– GAMBAR HIASAN
Sebagai orang yang mempunyai banyak pengalaman mengendalikan kes berkaitan rumah tangga, berapa banyak kes yang melibatkan perceraian yang bagi sesetengah pihak penyebabnya tidak masuk akal seperti bau badan pasangan misalnya?
Jumlah kes secara spesifik kita tidak dapat kenal pasti, tetapi secara realiti, kes yang tidak masuk akal hingga menyebabkan perpisahan memang berlaku.
Berdasarkan maklumat yang kita terima daripada hakim, kes luar biasa atau perkara remeh yang menyebabkan perceraian memang berlaku.
Antaranya, pasangan suka main permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), isteri terlalu meminati pelakon Aaron Aziz hingga menyebabkan suami cemburu.
Selain itu, ada juga kes agak kelakar iaitu isteri ingkar arahan suami untuk tidak makan mi segera ketika hamil.
Selain itu, ada kes perceraian melibatkan suami suka bawa balik barangan pejabat dan isteri menjalankan perniagaan produk tertentu sehingga rumah penuh dan berselerak dengan barangan dijual.
Ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga ada yang hilang pekerjaan. Sepanjang beberapa siri PKP, berapa banyak kes perceraian yang difailkan di mahkamah syariah dan penyebab utamanya?
Secara keseluruhan, kes permohonan cerai yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia sejak Mac 2020 hingga September 2021 yang dijana melalui sistem E-Syariah adalah sebanyak 70,272 kes.
Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada kes-kes perceraian dan berdasarkan satu tinjauan dibuat ketika PKP kali pertama tahun lepas, antara lima faktor yang utama adalah tiada persefahaman, masalah kewangan, pengabaian tanggungjawab nafkah, hubungan dengan pihak ketiga dan tekanan emosi.
Bagaimanapun, bukan semua perceraian berpunca daripada pandemik.
Terdapat kes-kes perceraian akibat perbalahan yang telah tercetus sebelum pandemik lagi.
Mungkin ramai ingin tahu, negeri manakah di Malaysia yang paling banyak berlaku perceraian?
Kes perceraian di Malaysia paling banyak berlaku adalah di Selangor dan statistik dari Januari 2018 hingga Oktober 2021 adalah sebanyak 41,728 kes.
Selangor mencatatkan kes yang tinggi mungkin kerana kepadatan penduduk, terutamanya yang tinggal di Lembah Klang.
Negeri lain yang mencatatkan kes perceraian tinggi untuk tempoh sama adalah Johor sebanyak 23,008 kes, Kedah (18,966 kes) dan Perak (16,825 kes).

Adakah pasangan yang berkahwin pada usia muda sudah mempunyai persediaan rapi berkaitan ilmu rumah tangga untuk menghadapi badai dan taufan di alam perkahwinan?
Dalam hal ini, ia berbalik kepada ilmu tentang tanggungjawab suami dan isteri.
Pasangan muda bukan hanya perlu mengetahui ilmu itu sahaja, sebaliknya harus menghayati dan mengamalkannya bagi membolehkan hubungan yang dibina berkekalan.
Oleh itu, keperluan menjalani kursus praperkahwinan terpakai kepada semua pasangan tanpa mengira usia bagi membolehkan mereka mendapat ilmu dan menghayatinya apabila mendirikan rumah tangga.
Hal berkaitan perceraian bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana Islam memandang tinggi tentang pernikahan dan kekeluargaan.
Dalam Islam, pernikahan disyariatkan untuk mendapatkan ketenangan, kasih sayang dan hormat menghormati.
Perceraian bukan sahaja melibatkan pasangan muda, tetapi juga mereka yang berusia emas dan sudah puluhan tahun bersama. Bagi pandangan Datuk, apa sebenarnya yang mempengaruhi orang-orang lama ini berpisah pada usia sebegitu?
Tidak dapat dinafikan bahawa ada pasangan yang memilih untuk berpisah setelah sekian lama hidup bersama.
Faktor yang membawa kepada perpisahan bagi pasangan sudah berusia juga sama dengan yang saya sebut sebelum ini.
Ada sebilangan wanita berusia emas memilih untuk bertahan dengan sikap atau sebarang perilaku suami kerana ingin membesarkan anak.
Bila anak sudah meningkat dewasa dan berasa ada tempat untuk bergantung, dia mengambil untuk berpisah dengan suami dan membawa haluan sendiri.















