fbpx

Apai Mobile menang dua anugerah MFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada seorang pemenang disaksikan Alexander (kiri) dan Radzali (kanan) di Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Siapa sangka hanya bermula dengan hobi suka membaik pulih telefon bimbit rakan sekelas, aktiviti tersebut menjadi idea bisnes berpotensi dan seterusnya meraih johan Cabaran Niaga Francais 2021.

Lebih manis, pengasas projek Apai Mobile Repair Centre, Mohammad Muadzan Abd. Rahman, 24, memaklumkan bahawa tuah anugerah itu diraikan dalam mood baharu selepas sebulan mendirikan rumah tangga.

Dia yang turut mewakili pasukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) itu turut diumumkan sebagai pemenang Video Montaj Terbaik berjaya mengalahkan sembilan lagi institusi pengajian tinggi awam tempatan lain.

Siswa tahun empat Ijazah Sarjana Muda Mekatronik dengan kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik itu menubuhkan A&M Telecommunication sejak 2014 dengan jenama Apai Mobile.

Paling unik, beliau bersama juniornya, Muhammad Syafiq Abd. Talib, 21, pernah menjuarai Pertandingan Mudaprenuer peringkat Utem pada 2019 dan peringkat kebangsaan pada 2020.

Mereka bukan sahaja menawarkan perkhidmatan pembaikan telefon pintar dan komputer riba, malah menjalankan urus niaga penjualan peranti itu untuk pelajar dengan harga berpatutan.

“Sasaran kami selepas ini adalah untuk menjadi syarikat yang unggul dalam penyediaan servis baik pulih gajet, perkhidmatan pendidikan pembaikan dan bekalan alat ganti seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Malam Anugerah Francais Malaysia (MFA) 2021 di sini.

PESERTA Utem (dari kiri) iaitu Mohammad Muadzan, Isma dan Muhammad Syafiq bersama sijil dan trofi.

Anak jati Cheng, Melaka itu dalam nada optimis berhasrat membuka banyak outlet di negeri berkenaan terlebih dahulu, sebelum potensinya diperluaskan lagi ke negeri-negeri lain pula.

“Ketika ini, premis Apai Mobile terletak di Bandar Bestari Jasin dan kami akan latih pelajar Utem dari keluarga B40 yang berminat untuk terlibat dalam bisnes francais sebegini,” jelasnya.

Menariknya, projek khas yang bermula sejak Julai lalu itu dibimbing oleh Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawan (Create) Utem serta firma Global Art & Creative Sdn. Bhd.

Pengarah Create yang juga pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan Utem, Dr. Imadi Addi Jumbri turut berbangga dengan kejayaan julung kali oleh pasukan tersebut.

Pada acara anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Persatuan Francais Malaysia (MFA) itu, Apai Mobile meraih hadiah geran bisnes RM100,000.

Mereka juga membawa pulang wang tunai RM500 untuk kategori Video Montaj Terbaik selain menerima trofi dan sijil penyertaan daripada Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Turut hadir pada acara berprestij tahunan edisi ke-23 itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan dengan 13 kategori ditawarkan.

Jenama GlobalArt yang diusahakan syarikat pendidikan awal kanak-kanak terkenal Global Art & Creative Sdn. Bhd. diumumkan sebagai pemenang Francais dan Francaisor Terbaik 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI