fbpx
PERTENGKARAN sering terjadi di antara Azi dan anak tirinya kerana mereka tidak menyukai kehadirannya. – GAMBAR HIASAN

K2

Bercerai selepas anak tiri buat onar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH rumah tangga selalunya ada suka duka dan perlu dihadapi seadanya demi sebuah ikatan yang lebih mesra dan mendapat restu antara semua ahli keluarga.

Jika sesebuah perkahwian itu tidak mendapat restu sama ada orang tua atau anak-anak, pasti ia akan berkahir dengan perpisahan yang memeritkan.

Itu yang berlaku kepada pasangan suami isteri dalam kisah Dari Mahkamah Syariah minggu ini yang berkahwin ketika berstatus janda dan duda yang tidak mendapat restu anak-anak hingga mereka terpaksa berpisah demi kebaikan semua pihak.
————————————————————————————————————————————————–
SELEPAS menjadi ibu tunggal hampir empat tahun ekoran kematian suami tercinta, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Azi mengambil keputusan untuk berkahwin dengan seorang duda yang dikenalinya di media sosial.

Lelaki yang dikahwininya selepas lima bulan berkenalan itu mempunyai tiga orang anak berusia 16 hingga 22 tahun, manakala dia sendiri ada dua anak berusia belasan tahun.

Setelah berumah tangga, Azi yang tinggal di sebuah negeri di utara Semenanjung berhijrah ke ibu kota untuk tinggal bersama suaminya.

Pada mulanya, dia membawa dua anaknya untuk tinggal bersama mereka, tetapi tidak lama selepas itu mereka
memilih untuk pulang ke kampung dan tinggal bersama dengan datuk dan nenek.

“Tidak dinafikan, anak-anak saya kurang selesa untuk tinggal bersama saudara tiri mereka disebabkan rumah yang kami diami tidak besar dan mereka terpaksa berkongsi bilik.

“Ada ketikanya saya mendengar mereka sering bergaduh kerana hal-hal kecil,” kata Azi kepada K2.
Menurutnya, dia tidak membantah keputusan anak-anaknya itu kerana di kampung mereka tinggal dengan persekitaran lebih selesa.

Setelah ketiadaan anak-anaknya di rumah itu, anak-anak tirinya mula menunjukkan belang sebenar yang mereka tidak suka dengan kehadirannya dalam rumah tersebut.

Di belakang suaminya, mereka mula bercakap kasar dan langsung tidak menghormatinya sedangkan di hadapan bapa mereka umpama pijak semut tidak mati dengan menunjukkan kemesraan bersama saya.

“Apabila suami keluar bekerja baru terserlah sikap mereka dan saya dilayan seperti orang gaji,” katanya.

AZI mendapati sejumlah wangnya telah dicuri oleh anak tiri yang menyelinap masuk ke dalam biliknya.–GAMBAR HIASAN

Paling membuatkan hati Azi terguris, anak-anak tirinya tanpa berselindung menyatakan mereka tidak suka bapanya berkahwin dengannya sambil mendakwa Azi cuba mengambil kesempatan untuk mengikis harta suaminya.

Azi kemudian menceritakan perkara itu kepada suaminya tetapi dia pula yang dimarahi kerana tidak percaya anak-anaknya bersikap demikian lantaran suami melihat mereka amat mesra dengan ibu tirinya.

Menurut Azi lagi, anak-anak tirinya juga amat suka dengan kucing dan membela haiwan tersebut di dalam rumah bagi mencetuskan suasana kurang menyenangkan kepada Azi terutamanya bau najis haiwan itu.

“Sejak saya tinggal di rumah ini, saya yang terpaksa menguruskan kucing-kucing ini dan mereka hanya tahu bermain dengannya sahaja.

“Najis kucing juga saya yang harus bersihkan. Kadangkala kami bergaduh tentang hal kucing dan saya minta mereka bertanggungjawab untuk menguruskannya,” jelasnya.

Tambahnya, ada sekali pergaduhan dia dengan anak tirinya didengari oleh suaminya dan akhirnya Azi yang dipersalahkan.

Selain itu, anak-anak tiri Azi juga sering memburuk-burukkan dirinya dan mengadakan cerita-cerita palsu mengenai dirinya kepada suami agar mereka berdua bergaduh.

Puncak keretakan rumah tangga Azi dan suami berlaku selepas peristiwa seorang anak tirinya memasuki bilik tidur Azi sebelum dia mendapati wangnya sebanyak RM400 telah hilang.

“Saya bertanyakan hal itu kepadanya tetapi dia tidak mengaku mengambilnya. Ini menyebabkan saya hilang sabar dan meninggikan suara.

“Anak-anak tirinya mengadu perkara itu kepada ayahnya dengan membuat cerita saya menuduh mereka mencuri dan menampar muka mereka.

“Suami amat marah mendengarkan hal itu dan mengatakan dia sendiri tidak pernah naik tangan ke atas anak-anaknya, selain menuduh saya mereka-reka cerita anaknya mencuri wang,” jelasnya.

Kecewa dengan sikap suaminya itu, Azi kemudian mengambil keputusan untuk keluar dari rumah itu dan pulang ke kampung.

Ketika di kampung, suaminya langsung tidak datang untuk meminta maaf atau memujuknya dan kejadian itu telah membuatkan Azi tawar hati dengan perkahwinan mereka.

Namun, Azi telah menerima satu panggilan daripada suaminya.

Dalam perbualan itu, suaminya menyatakan bahawa anak-anaknya tidak boleh menerima Azi lagi untuk menjadi pengganti kepada ibu mereka.

Akhirnya, dalam perbualan itu mereka memutuskan untuk berpisah sebagai jalan penyelesaian dan Azi diceraikan dengan talak satu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN