fbpx

Suami bunuh isteri, terlepas ke tali gantung dijel 25 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seorang suami yang memukul isterinya bertubi-tubi sehingga mati lapan tahun lalu, bernasib baik apabila terlepas hukuman tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun ke atasnya kerana membunuh tanpa niat.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Persekutuan Tan Sri Rohana Yusuf terhadap Jamaluddin Ali, 47, selaku perayu selepas menggantikan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan gantung sampai mati kepada membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Sebelum ini perayu yang telah menghantar representasi pada 14 Oktober lalu memohon untuk mengetepikan hukuman gantung yang disabitkan oleh dua mahkamah sebelum ini.
Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian pada 16 November lalu membenarkan permohonan representasi yang dikemukakan perayu.

Dalam penghakimannya, panel tiga hakim itu berpendapat hukuman penjara mengikut seksyen 304(a) selama 25 tahun itu adalah setimpal dan ia berkuatkuasa bermula tarikh perayu ditangkap pada 20 Mei 2013.

Semasa prosiding hakim Mohd. Zawawi berkata perkahwinan merupakan satu ikatan suci, setia dan penuh dengan kasih sayang.

“Tetapi, apabila ada yang mengkhianati maka timbul perasaan marah. Namun setiap perselisihan ada penyelesaian” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, Jamaluddin yang bekerja sebagai tukang masak itu didapati bersalah membunuh Nurhidayah A Ghani, 29, di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5 1/2 Jalan Puchong, pukul 9 malam, antara 15 Mei hingga 17 Mei 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pada 20 Januari 2017 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap perayu selepas didapati bersalah membunuh isterinya. Mahkamah Rayuan kemudian turut mengekalkan hukuman sama pada 26 Mei 2020.

Terdahulu peguam Athari Bahardin yang mewakiki perayu ketika berhujah, berkata dalam kes ini, perayu tidak menggunakan sebarang senjata atau senjata berbahaya.

Kata peguam itu, tindakan perayu memukul mangsa kerana tertekan dengan sikap isterinya yang sering keluar, bersuka ria dan meninggalkan anak-anak selain dikatakan mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Dalam kes ini tiada keterangan menunjukkan perayu menggunakan senjata atau senjata tajam untuk memukul mangsa. Justeru pihak pembelaan memohon hukuman penjara 15 tahun dikenakan terhadap perayu,” kata peguam itu yang turut memaklumkan perayu mempunyai empat orang anak berusia 10 hingga 18 tahun.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairuz Johari ketika berhujah pula berkata, pihak pendakwaan memohon satu hukuman penjara selama tempoh 25 tahun dikenakan terhadap perayu.

“Meskipun seksyen yang dikenakan terhadap perayu 304(a), namun dalam kejadian ini satu nyawa telah melayang apatah lagi mangsa dalam kes ini merupakan isteri perayu sendiri yang mana mangsa telah mengalami 34 kesan kecederaan akibat dipukul,” kata pihak pendakwaan itu.

Dalam prosiding perbicaraan lalu, pihak pendakwaan telah memanggil 24 saksi manakala mahkamah mendengar keterangan dua saksi pembelaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI