MELIHAT pesona si bunga Jasmine Suraya itu, tidak mustahil ada yang keliru bahawa empunya diri seorang wanita Tionghua. Kepetahannya menuturkan bahasa Melayu tanpa pelat menguatkan penerimaan dirinya dalam dunia seni tanah air sebagai wanita ‘Melayu’.
Si cantik yang bijak. Itulah gambaran yang dapat diungkap saat bersua dan berbual mesra dengan pemilik nama Jasmine Suraya Chin itu.
Wanita kecil molek itu boleh dikatakan antara pelakon bukan Melayu yang semakin popular dalam industri seni tanah air. Masakan tidak, wajahnya sering terpampang dalam drama yang sering mendapat rating tinggi. Antaranya termasuklah Adellea Sofea dan yang terbaru, Pelindung Seorang Puteri.
Di sebalik keindahan kehidupan di depan lensa, perjalanan Jasmine untuk menempatkan diri dalam bidang lakonan dan memecahkan tembok pelakon drama Melayu sebenarnya tidak mudah.
Sungguh, wanita berusia 30 tahun itu bersyukur kerana bakatnya diterima baik oleh penonton walaupun pada awalnya sedikit gentar untuk berlakon dalam naskhah Melayu.
Kerisauan bertamu kerana memikirkan soal penerimaan khalayak terhadap selebriti bukan Melayu tetapi melakonkan watak wanita beragama Islam.
“Saya akui sedikit gentar tetapi lama-kelamaan bakat saya mula diterima baik dalam kalangan karyawan drama dan filem di Malaysia.
“Perkara itu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk beraksi lebih bagus di hadapan kamera,” katanya.
Bahasa Melayu
Ralit mendengar bicaranya, tidak dinafikan penulis turut terpesona dengan sikap Jasmine. Tuturnya tak ubah seperti orang Melayu sejati, pelatnya juga sukar dikesan.
Kongsinya, kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu merupakan faktor utama yang membuatkannya mudah diterima dalam pasaran drama Melayu hari ini.
“Saya bertuah kerana diterima masuk ke pasaran drama Melayu disebabkan penguasaan bahasa Melayu saya yang boleh dikatakan baik.
“Kelebihan ini mungkin disebabkan saya membesar dalam persekitaran berbilang kaum dan bahasa Melayu seperti bahasa harian kami untuk berkomunikasi,” tuturnya.
Seiring tema Hari Kemerdekaan ke-63, Malaysia Priharin, Jasmine terpanggil mendalami soal bahasa Melayu.

Katanya, sebagai anak Malaysia, dia percaya bahasa Melayu sebenarnya satu medium yang mampu membentuk rakyat yang bersatu.
“Saya beri contoh di peringkat global seperti Thailand dan Korea Selatan. Populasi mereka ramai tetapi mengapa industri mereka lebih popular berbanding Malaysia?
“Kerana mereka membuat filem yang semua rakyatnya boleh tonton. Sebab apa? Sebab 90 peratus filem yang diterbitkan guna bahasa kebangsaan mereka. Jadi mengapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama?,” katanya.
Ujar bintang filem Paskal itu, situasi tersebut mungkin berlaku disebabkan kelonggaran kerajaan yang memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk bertutur dalam apa sahaja bahasa sehingga kurangnya kesedaran mengenai kepentingan bahasa rasmi negara. Nyata, kecintaannya terhadap kesenian dan bahasa sedang sebati di dalam jiwa.
“Itu antara punca mengapa industri kita sukar berkembang. Tiada sifat bersatu hati dalam penggunaan bahasa.
“Kalau kita jadi seperti Indonesia yang jadikan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama dalam perbualan seharian, filem, acara rasmi, mungkin elemen ‘bersatu’ akan lebih kukuh berbanding sekarang,” katanya bersemangat.
Pelakon drama Adellea Sofia itu tidak bermaksud untuk mengatakan rakyat Malaysia tidak bersatu, tetapi secara realitinya, rakyat negara ini mudah rapuh apabila ada sesuatu isu yang melibatkan kaum.
Memintas emosinya untuk berbicara soal rasisme di Malaysia, dia mengakui masih terdapat perbezaan suasana perkauman antara tanah kelahirannya dengan Semenanjung Malaysia.
“Apa yang saya lihat di sini (Kuala Lumpur), memang ada sesetengah kawasan dan individu yang sifat perkaumannnya sangat tinggi.
“Berbeza dengan di Kuching. Dibesarkan di sana, asimilasi antara kaum di Sarawak sangat harmoni. Kami menerima baik setiap kaum dan budaya, jadi tiada istilah ‘kau kaum kau, aku kaum aku,” katanya sambil meninggal itu tersebut untuk renungan bersama.
Pembedahan plastik
Dianugerahkan wajah yang cantik juga satu hal yang perlu disyukuri, sama juga halnya dengan Jasmine.
Sosok genitnya membuatkan wanita berusia 30 tahun terlihat seperti pelajar sekolah menengah.
Pembedahan plastik? Jauh sekali perkataan itu terlintas dalam benaknya, apatah lagi mengubah mana-mana bahagian tubuh hanya untuk kelihatan cantik.
Pelakon yang berasal dari Kuching, Sarawak itu sekeras-kerasnya menolak jika ditawarkan atau dikatakan melakukan pembedahan plastik untuk kekal muda.
“Saya terima apa yang Tuhan telah berikan, tidak perlu rasanya untuk lakukan sebarang perubahan terhadap muka atau pun badan saya untuk kekal muda. Hal itu seram (ketawa),” katanya.
Wanita yang sering diberikan watak antagonis itu sebenarnya diajak mengulas khabar angin mendakwa dirinya melakukan rawatan kecantikan untuk memancungkan hidung.

“Saya tak pernah lakukan pembedahan mancungkan atau mencantikkan bentuk hidung saya. Hidung saya asli!
“Memang saya takut dengar apabila ada artis yang sanggup tukar bentuk wajahnya. Tetapi apa pun itu semua kehendak sendiri, mereka yang akan tanggung akibatnya,” ujarnya.
Dia turut berpendapat, pembedahan plastik bukan hanya semata-mata menukar bentuk wajah, tetapi termasuklah menurunkan berat badan.
“Takut saya dengar ada yang potong usus sebab mahu kurus. Ekstrem sungguh sikap orang sekarang demi mahu cantik,” katanya dengan nada tegas.
Dalam soal berat badan, Jasmine mengakui: “Saya sendiri pernah gemuk dan saya faham perasaan menjadi orang gemuk. Tetapi mungkin kelebihan saya ialah berat badan turun secara semula jadi tanpa memerlukan sebarang rawatan.”
Akui Jasmine, pernah suatu ketika, berat badannya naik mendadak kerana tidak menjaga pemakanan dan tiada kawalan diri.
“Bagaimanapun, kalau saya masih gemuk pun, saya tidak akan potong usus atau ambil ubat kurus hanya untuk kelihatan cantik.
“Terimalah diri kita seadanya atau amalkan gaya hidup sihat jika hendak cantik.
“Buat apa cantik tetapi sakit? Kemudian, jangan salahkan orang lain jika diri sendiri merana pada usia tua nanti. Tanggunglah sendiri,” tutupnya.














