PETALING JAYA – Kira-kira 70 peratus daripada lebih 30,000 pemandu teksi di Lembah Klang kini ‘tenat’ selepas pendapatan mereka merosot saban tahun berikutan orang ramai kini mempunyai banyak pilihan termasuk perkhidmatan e-hailing.
Selain itu, ketiadaan pelancong selepas larangan rentas negeri dan penutupan pintu sempadan negara turut menyumbang kepada masalah tersebut.
Lebih teruk lagi, walaupun menghadapi kesukaran mendapat penumpang, mereka terpaksa membayar sewa teksi sebanyak RM40 hingga RM80 sehari bergantung kepada jenis kenderaan disewa.
Jurucakap Kelab Pemandu Teksi Lembah Klang yang dikenali sebagai Pak Tam, 50, berkata, terdapat ahlinya yang terpaksa ‘menggantung’ perkhidmatan kerana tidak mampu menanggung kos sewa.
“Secara anggaran, terdapat lebih 30,000 pemandu teksi di Lembah Klang. Daripada jumlah itu, hampir 70 peratus menyewa dengan syarikat atau individu lain.
“Kebanyakan pemandu teksi yang menyewa tidak dapat meneruskan kerjaya mereka dan mengikut maklumat yang kita terima hampir 50 peratus yang menyewa telah mengembalikan semula kenderaan atau ‘menggantung sementara’ teksi di syarikat masing-masing,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Pak Tam, keadaan itu berlaku kerana pendapatan kebanyakan pemandu teksi terjejas lebih 50 peratus dan keadaan menjadi bertambah sukar sepanjang pandemik Covid-19.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami memperoleh RM200 hingga RM300 sehari, tetapi sekarang RM150 pun susah nak dapat.
“Selepas ditolak sewa, bahan api, penyelenggaraan, berapa yang tinggal untuk kami meneruskan hidup. Jika teksi rosak, pemandu perlu tanggung kos penyelenggaraan.
“Lebih parah, sekiranya teksi sedang dibaiki di bengkel, kami juga perlu membayar sewa harian,” kata Pak Tam.
Jelas lelaki itu, persaingan dengan perkhidmatan e-hailing yang menawarkan harga lebih rendah berbanding teksi menjadi salah satu punca yang menyebabkan industri teksi di Lembah Klang semakin tenat saban tahun.
“Dari segi tambang, memang kami harus mengakui caj yang dikenakan e-hailing lebih rendah. Ini kerana kami mengenakan caj mengikut meter seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Mereka (e-hailing) juga boleh membuat promosi misalnya tambang RM1 ke destinasi terpilih.
“Bagi industri teksi, kami masih tertakluk arahan kerajaan yang mengarahkan supaya menggunakan meter,” katanya.
Pak Tam menambah, sekiranya masalah tersebut tidak ditangani segera, pihaknya yakin industri teksi terutamanya teksi bajet di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan ‘berkubur’ pada masa hadapan.














