fbpx

Impian saudara baharu Orang Asli solat di masjid tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JERANTUT – Kira-kira 200 saudara baharu Orang Asli Kampung Sungai Berjuang, di sini bersyukur kerana buat pertama kali sejak lebih 20 tahun lalu dapat mengimarahkan surau di kampung itu dengan menunaikan solat Jumaat hari ini.

Kebenaran menggunakan surau berkenaan untuk solat Jumaat diberikan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mulai Jumaat ini yang menyaksikan Orang Asli kampung itu tidak perlu lagi ke masjid Batu Balai yang terletak kira-kira lapan kilometer dari perkampungan itu.

Tok batin Kampung Sungai Berjuang, Sudin Yoh berkata, mereka amat bersyukur dan begitu teruja kerana buat pertama kali surau kampung tersebut diberi kebenaran oleh Muip untuk solat Jumaat.

“Beberapa tahun lalu saya pernah kemukakan hasrat bagi mendapat kebenaran supaya penduduk Orang Asli Islam di sini dapat beribadah solat Jumaat di surau yang serba lengkap ini dan hari ini kami amat gembira serta terharu kerana hasrat kami dimakbulkan Allah.

“Sejak saya serta anak buah memeluk agama Islam lebih 20 tahun lalu, kami menunaikan solat Jumaat di masjid Kampung Batu Balai yang agak jauh dari penempatan di sini yang menyukarkan khususnya bagi warga emas,”katanya selepas solat Jumaat dan majlis kesyukuran di Surau Kampung Sungai Berjuang di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Mohd Fadzli Mat Saman; Pengarah Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Islam JAIP, Mohd Ali Mat Dasir; Penolong Pengarah Kanan JAIP, Naiemah Jelani dan Kadi Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Saad.

Menurutnya, kebenaran menunaikan solat Jumaat di surau kampung tersebut memberikan kemudahan besar kepada mereka yang secara langsung dapat menguatkan keimanan dan ketakwaan menerusi amalan ibadah serta pembangunan dakwah islamiah.

Dalam pada itu, Mohd Fadzli berkata, pihak pengurusan Muip dan semua agensi yang terbabit dalam dakwah islamiah Orang Asli negeri ini sememangnya berharap surau berkenaan dapat dibenarkan melaksanakan solat Jumaat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI