PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kira-kira 75 peratus daripada permohonan yang diterima bagi Pensijilan Halal dapat diselesaikan dalam tempoh maksimum 30 hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, tempoh tersebut bagaimanapun hanya dapat dicapai sekiranya semua syarat dan prosedur dipatuhi pemohon mengikut yang telah ditetapkan.
“Sasaran kita adalah 30 hari menyelesaikan permohonan Pensijilan Halal namun, dengan syarat mereka tidak menghadapi sebarang masalah serta mengikut apa yang telah kita tetapkan.
“Di dalam data kita, setakat ini sebanyak 7,498 syarikat yang aktif (memiliki Pensijilan Halal). Jadi tidak menjadi masalah pihak syarikat untuk mengikut manual prosedur yang ditetapkan oleh Halal Jakim,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Pra Pelancaran Persidangan Halal Kebangsaan atau Sidang Halal 2021 yang akan berlangsung pada 23 November ini di Blok D, Kompleks Islam Putrajaya serta dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu, Idris berkata, berdasarkan pecahan syarikat dan pemain industri yang masih aktif memiliki Pensijilan Halal, sebanyak 3,028 syarikat dimiliki Bumiputera, 4,278 syarikat bukan Bumiputera manakala, 192 syarikat dimiliki warga asing tetapi beroperasi di negara ini.
“Pensijilan Halal Jakim juga diterima di negara luar dan Malaysia meletakkan standard yang baik. Malah logo Pensijilan Halal ini juga dipercayai kerana ia bukan setakat halal semata-mata tetapi halalan toyyiban,” ujarnya.
Berhubung Pra Pelancaran Sidang Halal 2021, beliau berkata, ia signifikan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Pensijilan Halal sebagai salah satu agenda penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada industri yang terkesan disebabkan pandemik. – K! ONLINE














