IPOH -Polis telah mengenal pasti suami kepada wanita yang memuat naik dakwaan di Aplikasi Tiktok berkaitan tiada tindakan diambil terhadap aduannya yang berdepan ancaman keselamatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki tersebut akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Kita telah mengenal pasti wanita itu dan minta kerjasamanya untuk datang ke balai polis bagi kita mendapat maklumat mengenai ancaman yang dimaksudkannya.
“Wanita terbabit sebelum ini ada membuat laporan polis tentang masalah rumah tangga dan kita telah pun mengenal pasti suaminya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, keengganan wanita itu memberi kerjasama menyebabkan pihaknya meminta kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk turut sama mengenal pasti punca masalah pengadu.-K! ONLINE