fbpx
AB. RASHID ada harapan sangat besar terhadap pengundi-pengundi muda ini dalam usaha mencorakkan semula landskap politik tanah air yang boleh dianggap sudah kacau-bilau. – AFIQ RAZALI

Ketengahkan lebih ramai calon muda pada PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUASA undi golongan muda kini semakin diberi perhatian oleh semua pihak terutama selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan had kelayakan mengundi bermula usia 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada 1 Januari 2022.

Minggu ini, kolum Wawancara membawakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman bagi mengupas isu tersebut dan lain-lain perkara berbangkit berkaitan pilihan raya.

Antara lain beliau menyarankan agar parti-parti politik mula mengetengahkan anak muda dalam PRU akan datang kerana golongan ini boleh menang, sekali gus mengambil alih tampuk pemerintahan negara sedang dikuasai oleh muka-muka sama sahaja sejak dulu sehingga sekarang.
———————————————————————————————————
SUHU politik tanah air kembali ‘panas’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November depan.

PRN tersebut terpaksa diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli DUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Ketika ini, parti-parti politik sibuk menyusun strategi ampuh untuk meraih kemenangan.
Kebanyakan penganalisis politik melihat keputusan PRN Melaka merupakan gambaran awal kepada kerajaan yang bakal dibentuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Terdapat juga pendapat mengatakan, keputusan di PRN Melaka tidak boleh diambil kira memandangkan had kelayakan mengundi baharu golongan muda berusia 18 tahun ke atas cuma bermula pada tahun 2022.

Pada masa sama, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini juga telah bersetuju untuk melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik bermula 1 Januari 2022 selaras dengan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Dengan pertambahan undi muda dan baharu pada PRU-15 nanti, keputusan pilihan raya pastinya sukar diramal memandangkan golongan tersebut dilihat amat agresif menuntut pelbagai perubahan bagi meningkatkan kualiti hidup.

Bagi mengupas mengenai isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berkesempatan menemu bual bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman di kediamannya baru-baru ini. Beliau juga merupakan salah seorang daripada ahli JawatanKuasa Khas Penambahbaikan Sistem Undang-undang Pilihan Raya (ERC) bagi mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan dalam sistem demokrasi di negara ini.

KOSMO! AHAD: Tahniah atas penerbitan buku terbaharu Tan Sri mengenai pilihan raya di Malaysia yang bertajuk Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir. Apakah inti pati dan komponen penting buku ini?

AB. RASHID: Buku ini secara keseluruhannya berkaitan dengan pilihan raya demokrasi yang dijalankan di negara ini. Pada permulaan buku ini, saya menerangkan serba ringkas mengenai pilihan raya, jenis demokrasi dan cara penubuhan kerajaan mengikut perlembagaan negara.

Saya juga menceritakan mengenai proses pilihan raya itu berlangsung dari mula hingga akhir. Untuk makluman, buku ini saya hasilkan bersama dengan Dr. G. Manimaran yang banyak membuat kajian mengenai pilihan raya.

Jadi, data yang diperoleh daripada hasil kajian beliau turut digunakan dalam bentuk informasi grafik daripada PRU pertama hingga PRU-14 lalu. Buku ini juga mengandungi trivia-trivia menarik mengenai PRU.

Misalnya, individu yang menjadi ahli parlimen tertua dan paling lama. Pendek kata, apa sahaja mengenai pilihan raya di Malaysia boleh didapati dalam buku berharga RM140 senaskah ini.

Adakah naskhah ini hanya untuk parti politik dan calon-calon pilihan raya sahaja? Sejauh manakah orang ramai boleh memanfaatkannya?

Buku ini saya tulis untuk semua tidak kira siapa termasuk parti politik, calon pilihan raya atau orang ramai sebagai pemilih.

Ia juga sesuai digunakan dalam pendidikan di negara kita dalam usaha mendedahkan golongan muda dengan sistem demokrasi dan pilihan raya di negara ini. Saya dapati masyarakat terutamanya orang kampung tidak didedahkan dengan sistem pilihan raya yang betul.

Mereka tahu mengenai sistem pilihan raya ini daripada ahli-ahli politik yang terlalu banyak cerita retorik. Melalui buku ini, saya berharap masyarakat mendapat gambaran lebih tepat dan dapat memainkan peranan mereka sebagai pemilih dalam mencorakkan kehidupan masa depan.

Kalau ada pemimpin terlibat dalam salah laku, rakyat boleh gunakan kuasa mereka menghukum pada pilihan raya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan had kelayakan mengundi bermula usia 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada 1 Januari 2022. Apakah pandangan Tan Sri?

Saya amat teruja dan mengalu-alukan langkah terbaharu daripada kerajaan ini. Dalam laporan ERC, saya ada masukkan mengenai had umur 18 tahun ini dalam usaha menambah baik sistem pilihan raya sedia ada.

Hal ini kerana, di negara-negara maju mereka telah memberi pelbagai hak dan pengiktirafan apabila seseorang belia itu mencapai umur 18 tahun. Saya yakin, sistem pendidikan ketika ini sudah cukup untuk mematangkan belia berusia usia 18 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya.

Menyentuh mengenai pendaftaran pemilih secara automatik, saya menganggarkan tidak kurang 7 juta belia berusia antara 18 hingga 21 tahun berpeluang mengundi pada PRU-15 nanti.

Angka ini tidak termasuk 4.5 juta individu tidak berdaftar mengundi selama ini. Apabila dilaksanakan sistem pendaftaran automatik ini, dianggarkan 11.5 juta pengundi baharu pada PRU-15.

Angka ini cukup besar dan kerajaan perlu memastikan pengundi-pengundi baharu ini keluar mengundi dan tahu peranan mereka terhadap sistem pemerintahan negara.

AB. RASHID bersama buku terbaharu Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir nukilan beliau bersama Manimaran.

Apakah harapan Tan Sri terhadap pertambahan jumlah pengundi muda pada PRU-15? Bagaimana kelompok ini mampu mencorakkan masa depan negara?

Saya mempunyai harapan yang sangat besar terhadap pengundi-pengundi muda ini dalam usaha mencorakkan semula landskap politik tanah air yang boleh dianggap sudah kacau-bilau.

Golongan inilah yang mampu mengubah landskap politik negara yang dilihat terlalu perkauman.

Saya rasa daripada 50 lebih parti politik berdaftar hampir 80 peratus daripadanya berasaskan kaum dan etnik. Apabila ada beberapa wakil menang, mereka akan perjuangkan hak kaum dan etnik mereka.

Saya berpendapat, politik perkauman ini tidak sihat dan memecah-belahkan perpaduan masyarakat.

Saya dari awal lagi menyokong pendirian Allahyarham Datuk Onn Jaafar untuk membentuk parti berbilang kaum. Beliau sudah pandang jauh ke hadapan bahawa parti berteraskan kaum dan etnik ini akan merugikan negara ditambah dengan perbezaan bahasa, budaya dan sistem pendidikan.

Adakah SPR memerlukan kerangka perundangan lebih luas bagi memastikan Undi 18 dapat dilaksanakan dengan lancar?

Bermula tahun depan, sistem pendaftaran pemilih telah dilakukan secara automatik termasuk mereka berusia 18 tahun. Sistem ini datanya datangnya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Malangnya, data-data di JPN ini kebanyakan tidak dikemas kini termasuk dalam soal perubahan alamat. Saya sudah cadangkan lama dahulu supaya diadakan satu badan oleh kerajaan bagi merekodkan alamat yang tepat bagi setiap pengundi.

Badan ini juga perlu memastikan seseorang itu mengundi di tempat tinggal semasa seiring dengan prinsip demokrasi tulen. Tidak boleh tinggal dan kerja di Kuala Lumpur lebih 10 tahun, apabila tiba hari mengundi balik ke Kelantan.

Saya rasa sudah tiba masanya diadakan satu gerakan penukaran kad pengenalan di seluruh negara. Ia bukan sahaja dapat mengetahui alamat sebenar seseorang pengundi tetapi mengatasi masalah kad pengenalan palsu.

Perlukah diketengahkan lebih banyak muka baharu dalam kalangan anak muda pada PRU-15 nanti sebagai pelapis pemimpin sedia ada?

Saya rasa sudah tiba masanya parti-parti politik mula mengetengahkan anak muda dalam PRU akan datang. Saya rasa golongan ini boleh menang sekali gus mengambil alih tampuk pemerintahan negara sedang dikuasai oleh muka-muka sama sahaja sejak dulu sehingga sekarang.

Parti-parti politik di negara ini sepatutnya mencontohi Singapura yang mengambil orang muda berpendidikan masuk ke dalam arena politik menggunakan sistem feudal. Di sana, parti pilih orang muda yang pandai-pandai untuk diangkat menjadi calon pada pilihan raya.

Apabila menang, mereka yang bijak pandai ini menjadi pemimpin.
Di negara kita, kebanyakan parti politik mengamalkan sistem demokratik dan individu lebih lama dalam parti akan diutamakan.

Situasi ini menghalang peluang orang muda yang bijak pandai untuk diketengahkan.

Saya melihat usaha Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ingin menubuhkan parti berasaskan anak muda ini sebagai satu usaha yang harus disokong.

PRU-15 akan datang dijangka begitu menarik kerana pertambahan jumlah pengundi muda yang dilihat bersifat amat agresif. – GAMBAR HIASAN

Pada tahun lalu, ERC telah menyerahkan laporan 49 syor kepada kerajaan. Apakah status syor-syor itu selepas setahun diserahkan?

Dalam 49 syor itu, ERC telah mengutarakan 15 masalah utama dalam pilihan raya di negara ini kepada kerajaan. Menerusi syor-syor ini, sistem pilihan raya negara dapat berubah secara drastik.

Usaha ini bagi memastikan sistem pilihan raya kita bebas, adil dan telus. Ketika ini, pilihan raya kita bebas, namun tidak cukup adil dan telus.

Hal ini kerana undang-undang di negara ini tidak lengkap sekali gus memberi peluang buat parti memerintah memanfaatkan kekurangan dalam aspek perundangan ini untuk mendapatkan sedikit kelebihan berbanding pihak lawan.

Buat masa ini, saya tidak tahu status ERC kerana ditubuhkan ketika pemerintah Pakatan Harapan (PH). Saya harap selepas ini pemimpin era pemerintahan Perikatan Nasional dapat melakukan pembaharuan yang telah dinyatakan.

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai ahli politik melompat parti. Keadaan ini membuatkan masyarakat muak dengan sistem demokrasi di negara ini. Apakah pandangan Tan Sri?

Dalam ERC pun saya ada syorkan usaha-usaha untuk mengatasi fenomena ini. Sebenarnya ada dua cara, pertama buat undang-undang antilompat kepada semua wakil rakyat. Bagi saya, undang-undang ini sukar untuk dilaksanakan memandangkan tidak demokratik.

Satu lagi cara yang boleh dilakukan dan lebih demokratik adalah dengan mengadakan pungutan suara dalam kalangan pemilih di kawasan wakil rakyat yang melompat.

Sekiranya pungutan suara itu menunjukkan majoriti mahu diadakan pilihan raya semula, maka perlu dilaksanakan untuk memilih wakil rakyat baharu. Saya rasa langkah ini lebih sesuai dipraktikkan bagi menghukum ‘katak-katak’ ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN