Jentera Land Rover Defender 110 terbaharu yang direka khusus dengan pelbagai ciri lasak termasuk rekaan ultrategap dan kebolehan meranduk air sedalam 900 milimeter ini sesuai dimiliki para pemandu yang gemarkan pemanduan mencabar.
Defender baharu ini dibuat khusus untuk pemandu yang inginkan pengalaman mencabar. Ia bukanlah suatu yang menghairankan kerana model ini sememangnya dikenali di dunia sebagai kenderaan yang lasak sejak diperkenalkan.
Peningkatan yang hadir pada model ini sesuai dengan peredaran masa dan keperluan pemanduan generasi kini.
——————————————————————————————————————
LAND ROVER Defender pertama kali dilancarkan pada tahun 1948 pada Pameran Motor Amsterdam, Belanda. Sejak itu, model pacuan empat roda berkenaan dikenali sebagai Land Rover 110 atau ‘One Ten’.
Pada tahun 1984, model Land Rover 90 atau ‘Ninety’ diperkenalkan dan setahun kemudian varian lebih panjang dikenali sebagai Land Rover 127 pula dilancarkan.
Nama Defender mula digunakan selepas tahun 1989 berikutan model Land Rover Discovery diperkenalkan.
Bermula pada tahun 1990 model-model terdahulu dijenamakan semula dengan nama Defender 110, Defender 90 dan Defender 130 (model 127).
Di Malaysia, Defender sinonim sebagai kenderaan yang digunakan oleh polis dan tentera, selain sering kelihatan di Cameron Highlands, Pahang kerana digunakan para pekebun.
Baru-baru ini, Jaguar Land Rover Malaysia telah melancarkan model ikonik itu di Sime Darby Motor City, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor dengan menawarkan dua pilihan enjin.
Ikon yang diberi perubahan iaitu Land Rover Defender 110 baharu itu hadir di Malaysia dengan dua pilihan enjin iaitu empat silinder 2.0L 300PS (P300) Ingenium dan enjin enam silinder 3.0L 400PS MHEV(Mild Hybrid Electric Vehicle) atau P400.
Enjin P300 menghasilkan kuasa maksimum 300PS pada 5,500rpm dan tork maksimum 400Nm pada 1,500 hingga 4,500rpm. Enjin P400 pula mempunyai kuasa maksimum 400PS dan tork maksimum 500Nm selain mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.1 saat.

Defender baharu ini dibuat khusus untuk pemandu yang inginkan pengalaman mencabar. Ia bukanlah suatu yang menghairankan kerana model ini sememangnya dikenali di dunia sebagai kenderaan yang lasak sejak diperkenalkan.
Pada masa sama juga, walaupun terkenal lasak, Defender baharu ini juga direka sesuai untuk pemanduan harian di dalam bandar selaras dengan teknologi dan reka bentuk praktikal.
Walaupun Defender baharu ini dilengkapi dengan inovasi terkini dan pelbagai peningkatan, jentera ini masih lagi kenderaan Land Rover paling kukuh dan berupaya menempuh cabaran serta eksplorasi lasak.
Peningkatan yang hadir pada model ini sesuai dengan peredaran masa dan keperluan pemanduan generasi kini.
Reka bentuk Defender yang kukuh mampu untuk menunda dan membawa bebanan berat di atas rak bumbungnya.
Sistem bar tundanya berkapasiti tundaan maksimum 3,500 kilogram (kg).
Badannya yang ultrategap berupaya menempuh cabaran merentasi daratan dengan beban maksimum bumbung statik seberat 300kg.
Jarak rodanya sepanjang 3,022 milimeter (mm) (iaitu 99 mm lebih panjang daripada Discovery). Defender 110 juga memiliki sudut breakover 28 darjah dan memberikan geometri
off-road yang terbaik.

Keupayaan meranduk sedalam 900mm diperkuat dengan program Wade baharu yang terdapat dalam sistem Terrain Response sekali gus memastikan pemandu dapat merentas air dengan yakin.
Ciri Adaptive Dynamic pada suspensi udara elektronik membolehkan pelanggan merasakan karakter pemanduan yang tersendiri.
Sistem peredam adaptif pula memantau pergerakan badan Defender sehingga 500 kali sesaat serta bertindak balas hampir serta-merta untuk kawalan dan keselesaan yang optimum.
Suspensi udara pula akan mentransformasikan kendalian pacuan empat roda di atas jalan dan meningkatkan keupayaan all-terrain dengan memberikan kelegaan jarak dari tanah 75mm untuk pemanduan off-road serta pemanduan penuh selesa melalui pelbagai permukaan.
Tambahan angkatan udara sebanyak 70mm pula bermakna sistem udara boleh mengangkat badan Defender sehingga 145mm apabila perlu, manakala sistem Elegant Arrival akan menurunkan badannya sehingga 40mm secara automatik untuk memudahkan pergerakan keluar masuk.
Selain itu, kamera keliling 3D dengan perspektif tiga dimensi baharu dan pandangan atas 360 darjah menjadikan kawalan pemanduan jentera ini lebih mudah, manakala pandangan off-road termasuk inovasi ClearSight Ground View memberikan pemandu keyakinan merentasi pelbagai permukaan bumi.
Inovasi ClearSight cermin pandang belakang Land Rover merupakan satu lagi ciri hebat Defender.

Ia memberikan pandangan tanpa halangan walaupun terdapat penumpang yang tinggi di tempat duduk belakang atau ruang kargo ditimbuni alatan perkhemahan, perabot atau kotak-kotak.
Ia menggunakan kamera pasang belakang yang memaparkan sudut pandangan luas dari belakang kenderaan melalui cermin pandang belakang.
Dinobatkan sebagai pemenang World Car Design of the Year 2021, Defender baharu ini begitu tersendiri dari segi rekaannya sehingga ia begitu pantas dikenali dengan unjuran depan dan belakang yang minimal lantas memberikan sudut approach dan departure yang cukup baik.
Pereka Land Rover telah terlebih dahulu membayangkan trademark Defender dengan binaan posisi yang kelihatan mantap, lampu bumbung Alpine dan bumbungnya, di samping mengekalkan pintu kargo belakang dengan engsel sisi dan tayar ganti dipasang di atasnya yang amat dikenali.
Masuk ke ruang kabin, sistem infotainment terkini Pivi Pro dipadankan dengan sistem bunyi Meridian dari Britain.
Ciri-ciri menarik yang ada pada Defender termasuk Head-up Display, ClearSight cermin pandang belakang dan kemudahan penumpang baris kedua untuk menyimpan beg, komputer riba atau jaket. Ruang beban belakang Defender 110 juga menawarkan ciri praktikal dengan kapasiti 1,075 liter.

Dengan isi padu beban maksimum sehingga 2,380 liter dan muatan maksimum sehingga 900kg, Defender baharu ini setaraf dengan pendahulu ikoniknya.
Model ini memberikan pilihan lima atau 5+2 tempat duduk menjadikannya versatil sebagai kenderaan keluarga atau membawa keperluan mengembara.
Harga varian P300 bermula daripada RM798,800, manakala P400 MHEV bermula daripada RM998,800 (harga termasuk pengecualian 50 peratus Cukai Jualan Penjana, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.landrover.com.my. Kesemua kenderaan Land Rover hadir dengan program Land Rover Care meliputi waranti lima tahun, servis percuma lima tahun dan bantuan sisi jalan raya selama tiga tahun.














