fbpx

PTPTN galak penabungan melalui Program Anakku Sejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor bersama Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN menyaksikan gimik pelancaran Program Anakku Sejahtera.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah kerana sokongan padu yang diberikan atas usaha PTPTN untuk menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat melalui Program Anakku Sejahtera.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, program tersebut dilancarkan sebagai salah satu usaha murni Kerajaan Negeri Kedah dalam pembasmian kemiskinan untuk rakyat negeri Kedah yang berpendapatan rendah.

“Menerusi inisiatif ini, Kerajaan Kedah telah memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk diberikan kepada bayi yang lahir di negeri Kedah mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021.

“Sumbangan akan diberikan dalam bentuk tabungan Simpan SSPN Prime (yang dahulunya dikenali sebagai SSPN-i) dengan jumlah RM100 setiap seorang,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, bagi memastikan sumbangan tersebut sampai kepada golongan sasaran, Kerajaan Negeri Kedah telah menetapkan beberapa syarat untuk permohonan sumbangan ini.

“Antaranya, bayi mestilah warganegara dan dilahirkan di negeri Kedah; ibu atau bapa lahir di negeri Kedah atau bermastautin di negeri Kedah melebihi 10 tahun; pendapatan isi rumah RM3,000.00 sebulan dan ke bawah; dan permohonan perlu dilakukan dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh kelahiran yang didaftarkan di sijil kelahiran,” ujarnya.

Katanya, borang permohonan dan maklumat lanjut berkaitan program ini boleh didapati di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran.

“Simpanan sebanyak RM100 akan dimasukkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime selepas permohonan diluluskan,” katanya.

Jelasnya, pihak PTPTN amat mengalu-alukan kerjasama Kerajaan Negeri lain untuk membudayakan amalan penabungan.

“Sehingga kini, selain Kedah, antara kerajaan negeri yang telah berkerjasama dengan PTPTN untuk insentif kelahiran baharu dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime ialah Terengganu, Perak, Johor dan Melaka.

“Ini selaras dengan matlamat di dalam teras pertama Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memupuk budaya menabung di kalangan ibu bapa di peringkat awal usia anak-anak bagi tujuan pendidikan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI